top of page

Pemuda UPKO sambut baik cadangan parti pembangkang sertai PH

  • Wartawan Nabalu News
  • Aug 26, 2021
  • 2 min read

ree

26 Ogos 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyambut baik cadangan para pemimpin Pakatan Harapan agar seluruh parti-parti di luar kerajaan bekerjasama dan menyertai PH.


Ketua Pemuda UPKO Malaysia Felix Joseph Saang berkata, cadangan itu perlu dipertimbangkan secara serius oleh semua parti pembangkang agar mereka mempunyai agenda yang sama, iaitu menyediakan alternatif yang nyata dan kukuh kepada rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.


“Pemuda UPKO, sentiasa berdiri teguh di belakang parti UPKO. Ini termasuk dalam keputusan oleh pucuk pimpinan pada 10 Mei 2018, yang telah mengambil ketetapan meninggalkan Barisan Nasional dan menjadi parti yang mesra PH di peringkat pusat.


“Keputusan tersebut sebuah keputusan berprinsip dan terus kekal sehingga hari ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Felix berkata, berdasarkan perkembangan politik baru-baru ini, dimana Perdana Menteri ke-8 Tan Sri Mahiaddin Yassin meletak jawatan, kesemua parti pembangkang telah mengambil keputusan memberi sokongan kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri yang ke-9.


“Gabungan pihak pembangkang secara kolektif berjaya mengumpul 105 sokongan, namun tidak cukup untuk mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri. Di sebalik semuanya itu, terdapat ruang penambaikan yang boleh dilakukan.


“Tidak dinafikan jelas kelihatan wujud sedikit persaingan dalaman di pembangkang sendiri untuk memilih calon PM yang akhirnya merugikan semua pihak dalam pembangkang. Namun ini semua telah berlaku. Jadikan ini sebagai suatu pengajaran. Jangan ulangi kesilapan ini, terutama sekali di PRU15,” katanya.


Oleh itu, Pemuda UPKO menyeru semua parti pembangkang yang lain untuk menerima cadangan tersebut.


Felix berkata, pembangkang harus terlebih dahulu menyelesaikan perbezaan sesama sebelum dapat membentuk dasar dan rancangan yang efektif dalam untuk kemajuan negara, termasuk dalam hal menangani wabak dan pemulihan ekonomi.


“Pembangkang kesuntukan masa kerana pilihan raya akan diadakan dalam masa terdekat. Kita mesti bersedia dan akar umbi kita mesti mula bertindak sekarang. Sudah tiba masanya parti pembangkang bersatu. Kita mesti bertindak sebagai satu suara.


“Bagi pihak Pemuda UPKO, kami sebagai salah satu sayap parti ini akan tetap teguh dalam pendirian kami untuk menyokong keputusan kepemimpinan atasan untuk bekerjasama dengan pihak yang memperjuangkan ideologi berbilang kaum dan meneruskan agenda yang sama.


“Ini sangat sesuai dengan penjenamaan semula parti. Kami di peringkat Pemuda akan terus bekerjasama dengan anggota dan pemimpin UPKO dalam perjuangan mereka mempertahankan Malaysia, agar rakyat dapat menikmati kebebasan dan pembangunan, tanpa mengira bangsa dan agama mereka,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page