PENAIKTARAFAN JALAN TENGKURUS LAHANAS, JALAN KINASARABAN MANDAP DOLUOH DILULUSKAN DALAM RMK-11
21 DIS 2020
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya Sabah mengesahkan penaiktarafan Jalan Tengkurus Lahanas dan Jalan Kinasaraban Mandap Doluoh telah diluluskan dalam Rolling Plan 4 (RP4), 2019-2020 di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11), 2016-2020.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick berkata, penaiktarafan jalan-jalan utama di Kadamaian itu pastinya memberi keselesaan kepada para penduduk kawasan itu.
“Saya juga dimaklumkan dalam jawapan bertulis daripada kementerian berkenaan bahawa Jalan Nahaba Sayap Mansulit, Jalan Taginambur Podos Gensurai dan Jalan Kaung Lobong-Lobong yang telah disenaraikan dalam Rolling Plan 1 (RP1), 2021-2022 di bawah RMKe-12, 2021-2025.
“Ini merupakan antara jalan-jalan utama di Kadamaian yang perlu dinaiktaraf kerana populasi pengguna yang besar dan menjadi laluan utama menghubungkan sekolah-sekolah serta pemangkin kepada kemajuan sektor pelancongan luar bandar di Kadamaian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan bahas ke atas Belanjawan 2021, pada persidangan dewan undangan negeri, di sini, hari ini.
Ewon berharap kerajaan dapat mempertingkatkan kompetensi kerja agar semua projek naiktaraf jalan dapat dimulakan sesegera yang boleh apabila ia sudah diluluskan dalam rolling plan tersebut.
Katanya lagi, Kadamaian merupakan antara peneraju sektor pelancongan luar bandar di Sabah dan ramai pengusaha persendirian dan komuniti membangunkan tanah dan kampung mereka dalam sektor ini.
“Kita menerima maklum balas positif daripada para pengunjung bahawa Kadamaian mempunyai alam semulajadi yang cantik, bersih, mengkagumkan dan penduduknya peramah.
“Namun yang tidak moleknya, mereka mengatakan jalan-jalan raya di Kadamaian banyak yang tidak cantik. Jalan-jalan pelancongan luar bandar ini membawa imej Sabah kerana para pengunjung dari dalam dan luar negara boleh bercakap mengenai ketidak-cantikan jalan-jalan raya kita di sebalik kecantikan alam semulajadi.
“Sebab itulah, saya katakan jalan-jalan di Kadamaian sangat mustahak untuk dinaiktarafkan,” katanya.
Ewon berkata, bagi jalan-jalan dalam kampung menuju ke kawasan eko pelancongan, Kerajaan Negeri sebelum ini telah memulakan banyak inisiatif menaiktaraf jalan sedemikian di Kadamaian sejak 2018.
“Saya berharap Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri hari ini masih meneruskan inisiatif-inisiatif yang telah kita mulakan sebelum ini,” katanya.
Comments