Pendaftaran Tahun Satu 2027 dibuka mulai 15 Februari
- nabalunews
- 1 hour ago
- 1 min read

29 Januari 2026
PUTRAJAYA: Pendaftaran Tahun Satu bagi sesi akademik 2027 termasuk untuk murid berusia enam tahun akan dibuka mulai 15 Februari hingga 31 Mac ini.
Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan (KPM), Dr. Mohd Azam Ahmad, berkata pendaftaran itu akan dilaksanakan menerusi Sistem Bersepadu Kementerian Pendidikan (MOEIS) di https://idme.moe.gov.my.
Menurutnya, pendaftaran terbuka kepada kanak-kanak warganegara dalam dua kohort umur iaitu enam tahun (5+) yang lahir pada 2 Januari hingga 31 Disember 2021 serta tujuh tahun (6+) bagi 2 Januari 2020 hingga 1 Januari 2021.
“Keputusan ini selaras dengan dasar kerajaan yang membolehkan kanak-kanak berusia enam tahun (5+) memasuki Tahun Satu secara sukarela mulai 2027 tanpa perlu menduduki ujian saringan," katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju ujian saringan diagnostik bagi menentukan kelayakan murid ke Tahun 1 seawal usia enam tahun bagi sesi persekolahan 2027 tidak akan dilaksanakan.
Keputusan itu dibuat selepas meneliti kebimbangan mengenai pelaksanaan cadangan tersebut, yang berpotensi memberi kesan psikologi dan bersifat diskriminatif terhadap kanak-kanak.
Dalam pada itu, Mohd Azam berkata, inisiatif untuk menggalakkan kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun (5+) ke Tahun Satu merupakan langkah progresif kerajaan dalam memastikan perkembangan dan kesejahteraan kanak-kanak.
Pada masa sama, katanya, ia juga memastikan mereka tidak ketinggalan dalam aspek pendidikan.
Sehubungan itu, ibu bapa dan penjaga dinasihatkan untuk mendaftar akaun di Sistem Pengurusan IDentiti (idMe) serta mengemas kini maklumat peribadi dan mengemukakan permohonan menerusi MOEIS mengikut tempoh yang ditetapkan bagi memastikan proses pendaftaran berjalan lancar.
Sebarang maklumat lanjut boleh dirujuk melalui portal rasmi KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).


















Comments