top of page

Pendakwah bebas meninggal dunia selepas rumah terbakar

  • nabalunews
  • 3 hours ago
  • 1 min read


6 Mei 2025


TAWAU: Seorang pendakwah bebas terkenal di daerah ini, dilaporkan meninggal dunia semasa dirawat selepas dihantar ke Hospital Tawau oleh keluarganya kerana pengsan dalam kejadian kebakaran di Kampung Baru, Batu 2 Jalan Apas, awal pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, laporan berkenan bagaimanapun, tidak mengaitkan kematian mangsa dengan kejadian kebakaran yang berlaku.


Menurutnya, pihaknya menerima laporan polis berkaitan kematian mangsa pada jam 5.53 pagi oleh anak arwah yang hadir ke Balai Polis bersama ibunya.


"Laporan tidak mengaitkan kematian Ustaz berkenaan dengan kejadian kebakaran yang berlaku.


"Mangsa dibawa ke Hospital Tawau oleh keluarganya selepas pengsan di rumahnya dan disahkan meninggal dunia semasa berada di hospital,"katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Sementara itu, pendakwah bebas dikenali sebagai Ustaz Ahmad Malik, 60, itu dikatakan rebah dan tidak sedarkan diri, dipercayai mengalami serangan jantung ketika berdiri di belakang rumah sambil melaungkan Azan ketika api kebakaran menghampiri rumahnya.


Dalam kejadian itu, rumah mangsa hanya mengalami kerosakan kecil di bahagian belakang akibat bahang panas, manakala, tiga rumah lain musnah 100 peratus.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin pula menyatakan pasukannya berjaya menyelamatkan 47 daripada 50 rumah di kawasan penempatan tersebut.


Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 3.17 pagi menerusi MERS999 dan mengerahkan 25 anggota serta lima jentera, termasuk utiliti ke lokasi bagi melakukan operasi pemadaman api.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page