Pendapatan isi rumah Sarawak meningkat dalam tiga tahun
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pendapatan isi rumah Sarawak meningkat dalam tiga tahun


8 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


SIBU: Pendapatan isi rumah di Sarawak menunjukkan trend kenaikan yang positif dalam tempoh tiga tahun, dengan purata pendapatan isi rumah kasar bulanan meningkat daripada RM5,959 pada 2019 kepada RM6,457 pada 2022.


Ini bermakna pendapatan isi rumah di negeri ini telah meningkat sebanyak 8.4 peratus, manakala median pendapatan isi rumah bulanan pula mencecah RM4,978 pada 2022, berbanding RM4,544 pada 2019.


Demikian menurut Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang berkongsi statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) menerusi Laporan Survei Perbelanjaan Isi Rumah.


Beliau berkata statistik tersebut juga menunjukkan bahawa kawasan luar bandar di Sarawak mengalami peningkatan lebih tinggi sedikit dalam pendapatan isi rumah kasar bulanan, iaitu sebanyak 8.6 peratus iaitu RM4,218 kepada RM4,579, manakala kawasan bandar yang meningkat sebanyak 6.9 peratus iaitu RM7,243 pada 2019 kepada RM7,744 pada 2022.


"Saya gembira bahawa statistik tersebut menunjukkan trend pertumbuhan positif dalam purata pendapatan isi rumah kasar bulanan bagi kedua-dua kawasan bandar dan luar bandar di Sarawak. Ini mempamerkan usaha kerajaan Sarawak dalam memastikan pembangunan yang seimbang dan pertumbuhan inklusif di seluruh negeri," katanya.


Beliau berkata ini selaras dengan sasaran kerajaan Sarawak untuk meningkatkan purata pendapatan isi rumah daripada RM4,544 pada 2019 kepada RM15,000 sebulan ketika negeri ini menuju ke arah sebuah negeri maju menjelang 2030.


Beliau juga berkata negeri ini berada di landasan yang betul untuk mencapai matlamat tersebut, seperti yang dibuktikan oleh Bank Dunia yang mengiktiraf Sarawak kini sebuah negeri berpendapatan tinggi.


"Selain itu, status berpendapatan tinggi oleh Bank Dunia juga berkait rapat dengan hasil kami yang mana Sarawak mencatatkan hasil sebanyak RM11.9 bilion, prestasi tertinggi yang pernah dicapai dalam sejarah negeri ini," katanya.


Beliau berkata dengan hasil yang meningkat itu, Sarawak telah menaikkan siling Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 Sarawak daripada RM30 bilion kepada RM38 bilion bagi mempercepatkan pembangunan infrastruktur di seluruh wilayah untuk memudahkan pembangunan sosioekonomi yang inklusif.


Jelas beliau, kerajaan Sarawak juga turut melabur dalam pembangunan modal insan bagi memastikan rakyatnya dilengkapi dengan kemahiran yang betul untuk meningkatkan purata pendapatan isi rumah kepada RM15,000 sebulan menjelang 2030.




photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page