Pendekatan tegas, lebih telus percepat pelaksanaan Pan Borneo Sabah – PM
- nabalunews
- 7 hours ago
- 2 min read

28 Ogos 2025
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan mengambil pendekatan lebih tegas dan telus bagi mempercepatkan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) di Sabah.
Beliau berkata, tindakan diambil antaranya menamatkan kontrak syarikat yang sebelum ini gagal menyiapkan fasa kerja ditetapkan, termasuk kepada syarikat yang sudah diberi penyambungan kontrak sebanyak dua atau tiga kali.
Katanya, langkah menamatkan kontrak bermasalah dan membuka tender baharu secara telus diyakini mampu memastikan projek Pan Borneo di Sabah kembali berada di landasan betul.
“Sebab itu, sejak dua tahun yang lalu, kita minta supaya semua proses tender itu lebih telus dan tidak terhad hanya kepada syarikat tempatan, syarikat negeri. Sebaliknya, membenarkan syarikat lain termasuk syarikat besar dengan syarat mesti ada pengagihan projek kecil itu ke syarikat negeri.
“Di Sabah sejak tujuh, lapan tahun lalu, bila projek diluluskan, negeri perketatkan syarat. Mesti melibatkan syarikat negeri dan kemudian pelaksanaannya sangat lemah dan banyak terpaksa dibatalkan, malah kontrak disambung ada dua atau tiga kali.
“Saya dah tamatkan supaya kita boleh kontrak semula dan insya-Allah projek ini akan berjaya disiapkan," katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab tambahan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) berhubung permasalahan yang dihadapi dalam pelaksanaan pembinaan LPB Sabah yang tertangguh sehingga sembilan tahun lamanya berbanding di Sarawak yang telah mencapai 98 peratus kemajuan.
Anwar berkata, beliau mengambil maklum kelemahan dalam penyampaian infrastruktur di Sabah, sambil mengakui amalan pengagihan kontrak tidak efisien dan disifatkan sangat bermasalah telah menjejaskan kemajuan di negeri itu.
“Saya terima teguran (Ahli Parlimen) Beluran. Tidak ada sebab projek yang diluluskan pada masa yang sama boleh capai 98 peratus di Sarawak tetapi gagal hampir sepenuhnya di Sabah. Sebab itu, pendekatan kita sekarang harus lebih tegas, berani dan telus,” katanya.
Secara keseluruhan, projek LPB Sabah sepanjang 706 kilometer dibahagikan kepada 35 pakej kerja. dengan 16 pakej di bawah Fasa 1A dan 19 pakej di bawah Fasa 1B.
Setakat bulan ini, empat daripada 16 pakej Fasa 1A kerja telah berjaya disiapkan dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2027, manakala Fasa 1B dijangka siap pada Oktober 2028.
Comments