top of page

Pendigitalan penuh JPJ bakal tingkatkan kualiti perkhidmatan, penguatkuasaan

Wartawan Nabalu News

15 Mei 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melancarkan beberapa inisiatif baharu dalam usaha untuk mencapai pendigitalan penuh bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada masyarakat.


Inisiatif-inisiatif tersebut termasuk e-Book Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP), JPJeID, JPJ Mobile dan bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan (FF) yang dibuka selama lima hari bermula Ahad menerusi JPJeBid.


Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata langkah ini sejajar dengan Pelan Strategik Pendigitalan JPJ 2021-2025 yang merangkumi pelan infrastruktur teknologi maklumat, tadbir urus dan kompetensi.


"Saya yakin inisiatif baharu ini akan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat serta membolehkan JPJ berada pada tahap terbaik sebagai penyedia perkhidmatan awam dan penguatkuasa yang mesra, cekap dan telus," katanya pada majlis Sambutan Ulang Tahun Hari JPJ ke-77 bertemakan 'Digitalisasi Kebitaraan JPJ' di sini.


Beliau turut menyatakan bahawa konsep pendigitalan itu turut diaplikasikan ke dalam strategi penguatkuasaan yang lebih holistik antaranya menggunakan dron, kamera aksi pengawasan (EAC), sistem Peranti Penguatkuasaan Pengurusan Pintar (SmED) dan sistem High Speed Weigh-in-Motion (Hi-WiM).


"Memang kita harap akan ada pendigitalan penuh, tetapi ia akan mengambil masa sebab ada banyak sistem yang perlu diintegrasikan. Sekarang 2023 kita telah pun ada beberapa inisiatif seperti Pendigitalan Lesen Kenderaan Motor (eLKM) dan Lesen Memandu Malaysia (eLMM) selaras pemacuan digitalisasi itu," katanya.


Tambah beliau, JPJ eBid telah pun dilaksanakan sejak 2019 dan dalam masa dua tahun yang akan datang, banyak lagi inisiatif pendigitalan yang akan dilaksanakan oleh JPJ.



Comentarios


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page