Penduduk Malaysia kini meningkat kepada 33.2 juta
- Wartawan Nabalu News
- May 11, 2023
- 2 min read

11 Mei 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
SHAH ALAM: Malaysia mencatatkan pertambahan penduduk sebanyak 1.6 peratus pada suku tahun pertama 2023 berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan jumlah penduduk kini mencapai 33.2 juta orang.
Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, pertambahan ini disebabkan oleh faktor-faktor seperti pertambahan semula jadi yang positif bagi warganegara dan juga kemasukan penduduk bukan warganegara.
"Penduduk lelaki meningkat daripada 17.1 juta kepada 17.5 juta berbanding suku tahun pertama 2022 manakala perempuan meningkat daripada 15.5 juta kepada 15.7 juta bagi tempoh yang sama," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, penduduk warganegara merangkumi 30.4 juta atau 91.7 peratus daripada jumlah penduduk manakala penduduk bukan warganegara pula berjumlah 2.8 juta atau 8.3 peratus.
Mohd Uzir turut menyatakan bahawa Selangor kekal sebagai negeri yang mempunyai penduduk tertinggi iaitu 21.7 peratus daripada jumlah penduduk negara, diikuti oleh Johor (12.3 peratus) dan Sabah (10.4 peratus).
Beliau juga memberitahu bahawa jumlah kelahiran hidup pada suku tahun pertama 2023 adalah sebanyak 111,604 kelahiran, meningkat sebanyak 8.9 peratus berbanding suku tahun pertama 2022 yang hanya merekodkan 102,466 kelahiran.
"Selangor kekal mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 21,148 kelahiran (18.9 peratus) manakala jumlah kelahiran hidup terendah dicatatkan oleh Wilayah Persekutuan Labuan (361 kelahiran: 0.3 peratus)," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, jumlah kematian pada suku tahun pertama 2023 adalah sebanyak 47,767 kematian, menurun sebanyak 11.7 peratus berbanding suku tahun pertama 2022 yang mencatatkan 54,123 kematian.
Tambah beliau, kematian disebabkan COVID-19 juga menurun secara mendadak iaitu daripada 3,553 kematian pada suku tahun pertama 2022 kepada hanya 96 kematian pada suku tahun pertama 2023.
"Kematian disebabkan COVID-19 ini menyumbang 0.2 peratus daripada keseluruhan jumlah kematian pada suku tahun pertama 2023," katanya.
Beliau juga memberi amaran bahawa Malaysia dijangka menjadi negara yang mempunyai penduduk yang mencapai usia tua dalam jumlah yang besar pada tahun 2030.
Comments