Penentang Tan Sri Mahiaddin perlu ke meja rundingan, bentuk kerajaan yang inklusif, adil
- Wartawan Nabalu News
- Aug 13, 2021
- 2 min read

13 Ogos 2021
KUALA LUMPUR: Kemelut politik dan krisis perlembagaan yang berpanjangan di bulan Merdeka ini adalah satu perkembangan yang amat menggusarkan buat seluruh negara.
Sehubungan itu Majlis Presiden Pakatan Harapan berpendapat bahawa, sebuah kerajaan yang stabil, berkesan dan dipimpin seorang Perdana Menteri yang mempunyai keabsahan serta sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen amat diperlukan ketika ini.
“Dengan jumlah kes aktif Covid-19 melebihi 200,000, lebih 1,000 pesakit berada di ICU dan setiap hari beratus orang meninggal akibat Covid-19, serta isu pekerjaan dan pendapatan yang membelenggu rakyat, kita amat memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, berkesan, dan dipimpin seorang Perdana Menteri yang mempunyai keabsahan serta sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen.
“Walaupun setakat ini umum sedia maklum hanya 100 Ahli Parlimen menyokong Tan Sri Mahiaddin Md Yassin sebagai Perdana Menteri dan 120 Ahli Parlimen tidak menyokong, namun beliau enggan meletakkan jawatan secara terhormat berdasarkan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.
“Rakyat berharap para pemimpin politik akan dapat mencapai penyelesaian yang mampu merungkai masalah ini dan seterusnya membolehkan kepimpinan berwibawa tampil untuk membantu negara membendung penularan wabak Covid-19 dan memacu pemulihan ekonomi pasca-pandemik,” kata kenyataan itu, hari ini.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (Parti Keadilan Rakyat), Hj Mohamad Sabu (Parti Amanah Negara) dan Lim Guan Eng (Parti Tindakan Demokratik (DAP)).
Majlis Presiden Pakatan Harapan mengulangi pendirian bahawa mereka menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.
“Pakatan Harapan juga tidak bersetuju untuk sebarang pilihan raya umum diadakan terutama ketika pandemic memuncak. Perlu diingatkan bahawa penggal terakhir Parlimen ke-14 hanya akan tamat pada 16 Julai 2023,” kata kenyataan itu.
Oleh itu, Majlis Presiden menjemput semua Ahli Parlimen yang menentang dan menolak Tan Sri Mahiaddin Md Yassin untuk bersama menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri untuk membuktikan sokongan serta membentuk satu majoriti baharu di Parlimen.
“Demi masa depan rakyat dan negara, semua pihak yang menentang Tan Sri Mahiaddin perlu bersama di meja rundingan sekarang untuk membentuk sebuah kerajaan yang inklusif, adil dan progresif di mana setiap parti dilayani secara adil.
“Oleh itu, amatlah penting semua pihak dapat bersatu di bawah sebuah Kerajaan berjiwa rakyat yang mampu memperbetul segala kepincangan dan kegagalan Perikatan Nasional menjelang undi percaya terhadap Perdana Menteri nanti.
“Ini supaya sebarang pengambil alihan Kerajaan hanya akan berlaku bersama pihak-pihak yang bersetuju dengan prinsip-prinsip dan landasan perjuangan termasuk reformasi institusi, tatakelola dan urus tadbir yang baik, dan institusi kehakiman yang bebas,” kata kenyataan itu.


















Comments