- Wartawan Nabalu News
Pengambilan dos penggalak vaksin COVID-19 meningkat, namun masih kurang memuaskan – KKM
9 Mac 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Sambutan orang ramai terhadap pengambilan dos penggalak vaksin COVID-19 masih kurang memuaskan, kata Menteri Kesihatan Dr. Zaliha Mustafa.
Bagaimanapun, beliau memberitahu Dewan Rakyat bahawa terdapat peningkatan dalam pengambilan dos penggalak di seluruh negara berikutan kempen yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
"Dos penggalak pertama itu kita ada peningkatan daripada 49.9 peratus kepada lebih 50 peratus sekarang dan dos penggalak kedua daripada 1.9 peratus kini kita telah dapat 2.2 peratus dalam beberapa minggu lepas," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau juga menanggapi soalan yang diajukan oleh Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai kesediaan kerajaan dengan sambutan rakyat terhadap dos penggalak.
Beliau menjelaskan bahawa KKM telah mengambil pelbagai tindakan untuk memperkukuhkan pengambilan dos penggalak, antaranya dengan membenarkan tempahan janji temu melalui aplikasi MySejahtera tanpa terikat dengan waktu dan tempat serta menawarkan perkhidmatan vaksinasi dos penggalak secara walk-in atau jumpa terus kepada golongan berisiko tinggi.
Sementara itu, Zaliha turut memaklumkan bahawa trend jumlah kes jangkitan COVID-19 dalam tempoh sebulan pertama 2023 adalah dalam keadaan stabil. Jumlah kes harian COVID-19 dalam negara sejak sebulan lepas kekal dalam lingkungan 500 kes dan menunjukkan trend penurunan kepada 226 kes semalam.
"Begitu juga, purata bilangan harian kes COVID-19 yang baru dikesan dalam tempoh tujuh hari adalah pada julat 187 hingga 511 kes, sepanjang Januari 2023. Seterusnya, nilai Rt (kebolehjangkitan) kekal di bawah 1.0 sejak Minggu Epidemiologi (ME) 46/2022 (13 hingga 19 Nov 2022) dan pada ME 4/2023 (22 hingga 28 Jan 2023) nilai Rt adalah 0.8," katanya.
KKM menggesa rakyat Malaysia untuk mengambil dos penggalak vaksin COVID-19 bagi memperkukuhkan lagi usaha negara dalam menangani pandemik. Semua langkah dan tindakan perlu diambil untuk memastikan keselamatan dan kesihatan diri sendiri serta komuniti yang lebih luas.
Comments