Penganjur #Turun lancarkan kempen Gerakan #KerajaanGagal
top of page
  • Farah Salim

Penganjur #Turun lancarkan kempen Gerakan #KerajaanGagal




20 Ogos 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Gerakan Tolak #KerajaanGagal  akan mengadakan satu kempen besar-besaran untuk membantah pelbagai isu dan skandal yang mereka dakwa gagal ditangani oleh kerajaan hari ini.


Jurucakap sekretariat itu, Syahmi Shamsudin, berkata gerakan itu, yang terdiri daripada 10 pertubuhan dan NGO, akan mengadakan ceramah dan bantahan bagi menggesa orang ramai menolak kerajaan sedia ada.


Beliau mendakwa, kegagalan kerajaan hari ini bermula dari isu kedaulatan negara, penghakisan kehormatan terhadap hak-hak asasi manusia, kegagalan mengurus bencana, kemiskinan dan banyak lagi.


“Kesannya, tidak dihitung sehari dua tetapi impaknya cukup pasti akan menjejaskan bergenerasi lamanya. Contohnya polisi kerakyatan atau kewarganegaraan yang menjadi isu hangat dalam media massa.


“Tidak dengan itu sahaja, krisis kepercayaan terhadap demokrasi juga semakin luntur atas kesalahan yang memang patut diletakkan kepada pentadbiran autoriti sedia ada.


“Lihat bagaimana institusi Parlimen yang sepatutnya menjadi wahana perbincangan tentang isu-isu kepentingan negara seperti kes tuntutan ke atas set Petronas oleh Waris Kesultanan Sulu - tetapi sebaliknya mengambil pendirian untuk menutup mulut dari mengangkat usul kedaulatan negara yang sangat genting ini.


“Sebaliknya, Ahli-Ahli Parlimen pula dilarang (malah dihalau keluar dari dewan) untuk berbahas. Apakah ini nilai yang ingin ditunjukkan kepada generasi akan datang bahawa institusi Parlimen yang sepatutnya diangkat tinggi dilihat hanya tempat untuk meluluskan kenaikan gaji ahli Dewan Rakyat, bukan membawa isu-isu yang melibatkan rakyat kebanyakan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Gerakan itu, merancang untuk mengetengahkan sekurang-kurangnya 30 isu yang timbul di bawah kerajaan Ismail Sabri yang menyambut ulang tahun pertamanya esok, ini termasuk inflasi, kekurangan peluang pekerjaan, kenaikan harga dan harga rumah yang terlalu tinggi.


Jelajah itu juga akan menyentuh kontroversi mengenai projek kapal tempur pesisir, ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azam Baki yang didakwa memiliki saham korporat yang meluas; dakwaan berhubung kaitan polis dengan “troll farm” dan kebocoran data peribadi.


“Troll farm” merujuk kepada rangkaian akaun dan halaman Facebook dan Instagram palsu yang didakwa cuba meningkatkan sokongan kepada kerajaan dan menjatuhkan pembangkang.


Beliau berkata, bagi mewakili jutaan rakyat Malaysia dan anak muda, mereka mengambil tugas dengan mengadakan siri-siri jelajah yang agresif untuk menerangkan kepada rakyat Malaysia mengenai isu-isu berkenaan.


“Kami akan mengadakan ceramah di seluruh negara, protes-protes berterusan di jalan raya, memperhebatkan penerangan tentang kegagalan kerajaan melalui media sosial supaya rakyat Malaysia sedar betapa pentingnya untuk kita tidak memilih pemimpin seperti ini lagi.


“Kami juga menyeru rakyat Malaysia, khususnya anak muda yang sedar bahawa setiap pilihan yang kita lakukan ini memberi kesan kepada masa depan mereka dan generasi akan datang,” katanya.


Himpunan #KerajaanGagal yang dijadualkan berlangsung hari ini (20 Ogos) digantikan pelancaran kempen besar-besaran.


Menurut kenyataan Jawatankuasa Gerakan #KerajaanGagal, mengambil semangat musyawarah bersama rakan-rakan aktivis yang menggerakkan himpunan #KerajaanGagal, pihak sekretariat bersetuju mengambil pendekatan baharu dengan melancarkan kempen besar-besaran terhadap kegagalan pemerintah.


“Kempen #KerajaanGagal bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kerajaan yang didakwa gagal dalam mentadbir negara,” kata kenyataan itu.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page