nabalunews
Pengecualian faedah B50: PH kesal Ismail Sabri ambil kredit penuh
14 Okt 2021
Oleh Ilona Andrew
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) menzahirkan rasa kesal terhadap Perdana Menteri Datuk Ismail Sabri Yaakob yang mengambil kredit penuh terhadap tuntutan pengecualian bayaran faedah bagi moratorium pinjaman bank kepada kumpulan lima puluh peratus terbawah (B50).
Majlis Presiden PH berkata dasar itu merupakan salah satu perkara terkandung di dalam Memorandum Persefahaman (MOU) yang ditandatangani oleh Ismail Sabri bersama pimpinan utama PH pada 13 September lalu.
“Majlis Presiden mengalu-alukan persetujuan Perdana Menteri kepada tuntutan PH bahawa bayaran faedah bagi moratorium pinjaman bank kepada kumpulan B50 daripada keseluruhan rakyat Malaysia untuk tempoh tiga bulan akan dikecualikan sepertimana yang terkandung di dalam Perkara 1.7 MOU di antara PH dan Kerajaan.
“Walau bagaimanapun, kami kesal Perdana Menteri tidak mengiktiraf bahawa dasar ini adalah salah satu perkara yang terkandung di dalam MOU yang ditandatangani oleh beliau sendiri bersama pimpinan utama Pakatan Harapan.
“Malah pengecualian ini digambarkan sebagai idea Kerajaan, walhal ia adalah pendirian konsisten PH yang dilaksana dalam semangat menunaikan Perkara-Perkara yang terkandung di dalam MOU,” kata Majlis itu dalam satu kenyataan bersama, hari ini. Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Ketua Pembangkang yang juga Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; dan Presiden UPKO, Datuk Wilfred Madius Tangau. Majlis itu berkata, tanpa pengiktirafan peranan MOU ini, ia mampu menjejaskan keyakinan pimpinan PH terhadap keikhlasan pihak Kerajaan untuk berpegang kepada semangat MOU tersebut. Tambah mereka, tindakan itu juga bercanggah dengan konsep “Keluarga Malaysia” yang berasaskan fakta dan data agar segala perancangan dapat diusahakan bersama dengan perpaduan rakyat. “Penting dijelaskan bahawa pada awalnya pihak Kerajaan tidak bersetuju dengan cadangan Pakatan Harapan untuk memberi pengecualian bayaran faedah kepada peminjam dari kelompok B50 ini. “Untuk memastikan dasar ini dapat dilaksana, pimpinan utama PH telah mengadakan siri pertemuan bukan sahaja bersama Menteri Kewangan malah juga dengan Ketuaketua Pegawai Eksekutif bank-bank komersil. “Walaupun pada mulanya terdapat kebimbangan di pihak bank-bank, namun setelah siri libat urus ini berjalan dan pandangan pimpinan Pakatan Harapan disampaikan dengan jelas, Perdana Menteri telah bersetuju dengan pendirian kami dan akhirnya dasar ini dapat dilaksana. Pelaksanaan Perkara 1.7 MOU ini merupakan satu kemenangan untuk rakyat.” Dalam pada itu, Majlis itu berkata PH akan terus memainkan peranan semak imbang serta tegas dalam membawa suara isi hati rakyat di dalam dan luar Parlimen demi menangani wabak COVID-19, mengatasi krisis ekonomi serta menyelamatkan nyawa dan mata pencarian. Semalam, Ismail Sabru mengumumkan Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) bagi membantu peminjam dalam kumpulan B50. Beliau berkata, program berkenaan adalah sokongan bantuan bayaran balik pinjaman komprehensif yang akan dilaksanakan oleh sektor perbankan dan ditawarkan kepada pelanggan B50 yang terjejas.
Comments