top of page

Pengekalan penarafan kredit bukti keyakinan terhadap ekonomi Malaysia

  • nabalunews
  • Sep 20, 2025
  • 2 min read

20 September 2025


PUTRAJAYA: Keputusan agensi S&P Global Ratings (S&P) mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada ‘A-’ dengan tinjauan stabil menunjukkan keyakinan terhadap pengurusan makroekonomi Malaysia yang kukuh.


Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyatan hari ini berkata, walaupun terdapat ketidaktentuan ketara dalam aliran perdagangan global, Malaysia tetap menghasilkan prospek pertumbuhan ekonomi yang lebih baik berbanding negara berpendapatan setara.


Menurut MoF, agensi penarafan itu menyatakan asas penarafan tersebut disokong oleh ekonomi yang pelbagai, kestabilan politik yang berterusan, momentum pertumbuhan yang mapan, kedudukan luaran yang seimbang serta defisit fiskal yang mengecil.


“S&P menyatakan bahawa kestabilan politik yang dinikmati ketika ini di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim menggalakkan penggubalan dasar. Ini membolehkan pembaharuan ekonomi dan konsolidasi fiskal dapat diteruskan.


“Tinjauan stabil mencerminkan momentum prestasi pertumbuhan Malaysia dan persekitaran dasar semasa yang mampu meningkatkan prestasi fiskal secara sederhana dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang,” menurut kenyataan itu.


MoF berkata, S&P turut menyatakan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kekal kukuh, fleksibiliti yang tinggi dalam dasar monetari serta kedudukan luaran yang seimbang disokong lebihan akaun semasa yang menyederhana dan asas eksport yang berkembang merupakan antara faktor utama pengekalan penarafan tersebut.


Selain itu katanya, S&P juga menekankan Malaysia mempunyai ekonomi yang pelbagai dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran semasa, serta mengiktiraf komitmen kerajaan untuk melaksanakan konsolidasi fiskal melalui penambahbaikan subsidi dan perluasan asas hasil.


“Kerajaan MADANI memberi tumpuan kepada menambah baik kualiti kehidupan rakyat (menaikkan lantai) serta reformasi ekonomi (menaikkan Siling), selain memastikan pengurusan fiskal yang bertanggungjawab.


“Walaupun keadaan luaran kekal tidak menentu, kami beriltizam untuk meneruskan pembaharuan yang akan memartabatkan Malaysia ke tingkat yang lebih tinggi,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam kenyataan yang sama.


Menurut MoF, ekonomi Malaysia mencatatkan perkembangan sebanyak 4.4 peratus pada separuh pertama tahun ini dengan pertumbuhan secara meluas.


Katanya, pertumbuhan merangkumi perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan disokong oleh keadaan pasaran buruh yang memberangsangkan, kadar inflasi yang terkawal, pelancongan domestik yang rancak serta langkah kerajaan yang berterusan dalam mengekalkan kuasa beli pengguna.


“Aktiviti sektor swasta dan awam yang kukuh didorong oleh pelaburan yang tinggi dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan serta pembangunan infrastruktur akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi meskipun berdepan dengan ketidaktentuan global yang mencabar.


“Secara keseluruhan, KDNK Malaysia diunjurkan berkembang antara 4.0 peratus hingga 4.8 peratus pada tahun 2025,” jelas kementerian itu.


Selain itu katanya, kedudukan luaran Malaysia yang kekal stabil menjadi kekuatan penarafan memandangkan Malaysia mempunyai rekod lebihan akaun semasa yang konsisten selama lebih dua dekad.


Menurut MoF, S&P turut menjangkakan lebihan akaun semasa kekal stabil sekitar 2.1 peratus daripada KDNK dalam tempoh tiga tahun akan datang, dipacu permintaan kukuh terhadap sektor pembuatan eksport Malaysia.


Jelasnya, ia menunjukkan Malaysia mempunyai liputan rizab yang mencukupi dan S&P menjangkakan pasaran modal yang mendalam akan menyokong kestabilan kewangan.


Dalam pada itu, MoF berkata kerajaan kekal berwaspada dalam menguruskan keadaan ekonomi global yang dinamik, khususnya dasar perdagangan yang sentiasa berubah, selain memastikan pelaksanaan dasar fleksibel dan tangkas.


“Melangkah ke hadapan, kerajaan akan meneruskan agenda pembaharuan menyeluruh di bawah kerangka Ekonomi Madani bagi mencapai pertumbuhan lebih tinggi, daya tahan ekonomi kukuh dan kemampanan fiskal.


“Selain itu, Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 akan memastikan konsolidasi fiskal kekal berada di landasan tepat di samping menyediakan sokongan mencukupi untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page