Pengeluaran minyak mentah, kondensat naik 1.1 peratus pada 2025
- nabalunews
- 3 hours ago
- 2 min read

4 Mac 2026
PUTRAJAYA: Pengeluaran minyak mentah dan kondensat Malaysia meningkat 1.1 peratus kepada 183.6 juta tong pada 2025 berbanding 181.6 juta tong pada 2024, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan itu disumbangkan oleh peningkatan pengeluaran minyak mentah serta prestasi kondensat yang lebih kukuh dengan pengembangan 6.1 peratus, berbandinh 2.7 peratus pada tahun sebelumnya.
“Dari segi komposisi, minyak mentah merangkumi 67.9 peratus atau 124.6 juta tong, manakala kondensat menyumbang 32.1 peratus atau 59.0 juta tong.
“Sementara itu, gas asli merekodkan pengeluaran sebanyak 2,943.8 bilion kaki padu berbanding 2,948.8 bilion kaki padu pada 2024,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bagi prestasi suku tahunan, pengeluaran minyak mentah dan kondensat meningkat 4.5 peratus pada suku keempat 2025 kepada 47.8 juta tong, berbanding 45.1 juta tan pada suku sebelumnya.
Menurutnya, pertumbuhan itu didorong oleh peningkatan dua digit pengeluaran kondensat sebanyak 18.0 peratus (ST3 2025: 9.7 peratus) kepada 17.0 juta tan.
Bagaimanapun, katanya pengeluaran minyak mentah mencatatkan penurunan 1.7 peratus berbanding pertumbuhan 7.0 peratus pada suku ketiga 2025.
“Dari segi komposisi, minyak mentah menyumbang 64.4 peratus daripada jumlah pengeluaran minyak mentah dan kondensat, manakala kondensat merangkumi 35.6 peratus.
“Sementara itu, pengeluaran gas asli merekodkan 784.0 bilion kaki padu pada suku keempat 2025, menyusut 1.1 peratus berbanding pertumbuhan 11.8 peratus pada suku sebelumnya,” ujarnya.
Mohd Uzir berkata, Harga Purata Berwajaran (WALP) bagi minyak mentah dan kondensat Malaysia turun kepada US$66.1 per tong pada suku keempat 2025 berbanding US$71.9 per tong pada suku sebelumnya, selari dengan penurunan harga global West Texas Intermediate (WTI) dan Brent crude.
Mengulas prestasi perdagangan luar negara, beliau berkata nilai eksport petroleum mentah dan kondensat meningkat kepada RM6.1 bilion pada suku keempat 2025 berbanding RM5.3 bilion pada suku sebelumnya.
“Peningkatan ini selari dengan keluaran petroleum bertapis yang turut merekodkan kenaikan marginal kepada RM23.9 bilion berbanding RM23.9 pada suku sebelumnya.
“Pada masa sama, eksport gas asli cecair (LNG) turut meningkat kepada RM13.6 bilion berbanding RM12.2 bilion pada suku terdahulu,” katanya.
Menurutnya, import petroleum mentah dan kondensat pula menurun kepada RM11.5 bilion pada suku keempat 2025, berbanding RM16.0 bilion pada suku ketiga 2025, manakala keluaran petroleum bertapis menyusut kepada RM22.7 bilion daripada RM24.1 bilion.
Sementara itu, import LNG meningkat kepada RM1.6 bilion berbanding RM1.3 bilion pada suku sebelumnya.















Comments