top of page

Penggantungan NAFAS masih berkuat kuasa – Mohamad Sabu

  • nabalunews
  • Aug 6, 2025
  • 2 min read

6 Ogos 2025


KUALA LUMPUR: Penggantungan Perlembagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang berkuat kuasa sejak 1 November 2024 masih lagi berkuat kuasa pada ketika ini.


Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sepanjang tempoh penggantungan itu, NAFAS ditadbir oleh mereka yang dilantik oleh Pendaftar Pertubuhan Peladang dengan segala urusan tertakluk kepada arahan pihak pendaftar.


Katanya, Pendaftar telah melantik Majlis Penasihat NAFAS yang dianggotai oleh lima orang ahli profesional yang berpengalaman dalam bidang tadbir urus serta pengurusan Kerajaan.


“Majlis ini berperanan untuk menilai semula setiap aspek pengurusan dan perniagaan NAFAS termasuk subsidiari bagi memastikan tindakan pembetulan bersifat menyeluruh, berasaskan fakta dan menjurus kepada pemulihan institusi secara berstruktur serta berintegriti,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) tentang status terkini penggantungan perlembagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sejak 1 November 2024.


Menurutnya, Pendaftar Pertubuhan Peladang memantau urusan harian NAFAS serta menjalankan siasatan berhubung isu-isu dikenal pasti di samping menambah baik urusan tatakelola bagi memperkasakan semula NAFAS secara menyeluruh.


Dalam pada itu, Mohamad Sabu mengariskan beberapa strategi pembaharuan dan hala tuju termasuk transformasi tatakelola NAFAS, penilaian dan penstrukturan semula tadbir urus, penstrukturan semula syarikat subsidiari, audit pengurusan dan pemantauan berterusan.


“Ia juga melibatkan pengukuhan mekanisme semak dan imbang, penguatkuasaan kod etika dan integriti, serta mempelbagaikan sumber pendapatan serta pemulihan kepercayaan awam,” katanya.


“Selain itu, strategi pembaharuan dan hala tuju NAFAS akan dipetakan melalui dokumen ‘Blueprint Penambahbaikan Tatakelola dan Keberdayasaingan NAFAS 2.0’ yang merangkumi lima teras,” katanya.


Teras tersebut meliputi tadbir urus dan kepimpinan organisasi, perundangan dan pematuhan, pengurusan dana dan perolehan, model perniagaan dan kelestarian kewangan, serta sistem pemantauan audit dalaman dan penerbitan.


Sebelum ini, perlembagaan NAFAS digantung bagi menambah baik tatakelola dan tadbir urus pertubuhan berkenaan susulan konflik dalaman dan ketidakharmonian yang menjejaskan operasi serta fungsinya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page