Pengumuman Perdana Menteri Cerminan Keprihatinan Kerajaan MADANI
- nabalunews
- 3 days ago
- 1 min read

23 Julai 2025
KUALA LUMPUR: Pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut baik oleh pelbagai pihak yang melihat langkah itu sebagai satu inisiatif pro-rakyat yang memberi manfaat langsung kepada semua lapisan masyarakat.
Ketua Pemuda UPKO Penampang, Billy Joe Dominic berkata, keputusan kerajaan untuk menurunkan harga minyak merupakan satu kelegaan besar kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang semakin tertekan dengan peningkatan kos sara hidup.
Katanya, langkah itu memberi ruang bernafas kepada rakyat yang berdepan pelbagai cabaran ekonomi.
“Ia selaras dengan komitmen kerajaan dalam membantu meringankan beban harian masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Billy turut menyambut baik pemberian bantuan tunai sekali bayar sebanyak RM100 dan menyifatkannya sebagai satu keputusan tepat pada masanya.
“Inisiatif ini mampu memberikan kelegaan segera kepada rakyat dalam mengurus keperluan asas dan kewangan isi rumah, terutamanya dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu,” tambahnya lagi.
Dalam masa yang sama, pengumuman tambahan cuti umum sempena Hari Malaysia turut disifatkan sebagai simbol pengiktirafan kepada sejarah penubuhan negara Malaysia yang disambut pada 16 September setiap tahun.
“Cuti ini bukan sahaja memberi peluang rakyat meluangkan masa berkualiti bersama keluarga, malah memperkukuhkan semangat kenegaraan dan penghargaan terhadap sejarah pembentukan negara kita yang tercinta,” katanya.
Menurutnya, semua inisiatif yang diumumkan merupakan manifestasi komitmen berterusan kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat serta memperkukuhkan perpaduan dan jati diri.
Comments