Pengundi Melaka, tunjuk kepada pembelot bahawa tindakan mereka tidak direstui Pengundi Melaka, tunjuk kepada pembelot bahawa tindakan mereka tidak direstui
top of page
  • nabalunews

Pengundi Melaka, tunjuk kepada pembelot bahawa tindakan mereka tidak direstui


19 Nov 2021


Dr Mahathir Mohamad belum lagi membuat sumpahan terhadap mereka yang belot dan menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) serta kepimpinan beliau sendiri melalui Langkah Sheraton pada tahun 2020.


Di ambang Pilihanraya Negeri Melaka, saya menyeru ahli Parlimen Langkawi melontar sumpahan kepada pengkhianat Sheraton Move, seperti yang dilakukan oleh Mahsuri.


Lagenda mengatakan bahawa akibat sumpahan tersebut, Langkawi tidak makmur malah jatuh mundur selama tujuh keturunan. Jadi rakyat berharap dengan sumpahan Dr M, tujuh generasi parti UMNO, Bersatu, Azmin Ali dan PAS akan mundur dan hancur dari bumi politik Malaysia.


Rakyat negara ini belum lagi berpeluang merakamkan perasaan mereka terhadap pembelot-pembelot Sheraton Move. Tindakan dayus pengkhianat ini belum lagi mendapat penghukuman rakyat. Penganiayaan mereka terhadap Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim belum lagi dapat dibalas. Pilihan Raya Negeri Melaka merupakan peluang pertama rakyat untuk berbuat demikian.


Hari Sabtu ini, rakyat berkesempatan untuk mengajar pemimpin bahawa mereka yang tidak ada kesetiaan, tidak punya maruah, dan yang mengekalkan kuasa mereka dengan mencuri dan menipu, tidak akan kekal.


Parti-parti yang menerima sumpahan Dr Mahathir ini akan tewas besar bukan sahaja di Melaka tetapi juga di semua pilihan raya negara ini. Mereka menjaja barangan politik murahan, kononnya mahu membela Islam dan bangsa, menentang rasuah dan sebagainya. Tetapi mereka hanya mahu membela kepentingan diri sahaja.


Apa yang PAS buat di Kelantan dan Terengganu? Rakyat miskin ramai, masalah sosial banyak. Kadar penceraian dan salah guna dadah tinggi. Apa PAS buat? Dia salahkan orang ramai tak faham agama. Air tak cukup di bandar besar seperti Kota Baru, PAS hanya pandai minta doa. PAS hanya tahu haramkan segala kegiatan yang mereka tidak suka tanpa mengambil kira kepentingan orang ramai.


UMNO dan Bersatu sedang berkelahi besar kerana mereka sudah gila kuasa. Tetapi mereka nak jaga harga ayam pun tak terdaya. Harga barang keperluan lain juga melambung. Gaji pekerja tidak mampu dinaikkan. Yang mereka mampu ialah membeli kereta Vellfire buat Menteri dan melantik berpuluh-puluh penasihat kepada Menteri dengan gaji yang lumayan. Mereka tak ada rasa malu. Mereka tak ada rasa belas kasihan kepada rakyat miskin. Mereka menjerit dalam Parlimen kerana mereka tidak ada otak untuk menjawab dengan sopan dan berhemah.


Saya menyeru kepada pengundi Melaka: tunjukkan kepada kumpulan pemimpin pembelot dan gila kuasa ini bahawa rakyat tidak merestui tindakan mereka. Ada pihak yang meminta diadakan undang-undang anti-lompat supaya pembelotan dapat dihapuskan. Pada hemah saya, ubat yang paling berkesan untuk menghapuskan pengkhianat politik ialah bila rakyat menolak mereka dalam pilihan raya. Bila Melaka menolak parti-parti seperti UMNO, Bersatu, PAS dan Azmin Ali, maka selesailah masalah lompat parti di negara ini. Selesailah Tindakan Sheraton dari bumi Malaysia ini.


Dr Mahathir berkata dia dan Pejuang tidak mahu terlibat dalam pilihan raya Melaka. Ini saya faham tetapi amatlah baik jika Tun turun ke Melaka sekejap. Pergilah ke tepi pantai tempat Hang Tuah bersiram dan lontarkan sumpahan kepada pembelot politik yang sedang berkumpul di Melaka. Biarlah tujuh keturunan pembelot ini kekal tewas dan terhumban dalam parit kotor di Melaka supaya mereka tidak lagi dapat merosakkan masa depan rakyat Malaysia.


DATUK ZAID IBRAHIM

BEKAS MENTERI PERSEKUTUAN

bottom of page