Peniaga kecil dan penjaja tetap dapat manfaat subsidi LPG
- nabalunews
- Aug 12, 2025
- 2 min read

12 Ogos 2025
KUALA LUMPUR: Harga bagi gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi tertakluk kepada kawalan harga di setiap peringkat rantaian pengedaran, merangkumi pengeluar, pemborong dan peruncit.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia selaras dengan peruntukan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (No. 4) 2015 yang telah berkuatkuasa mulai 1 Julai 2015.
"Dalam hal ini, harga runcit bagi tong LPG bersubsidi 10kg adalah RM19.00, 12kg adalah RM22.80 dan bagi 14kg adalah RM26.60.
Manakala, harga bagi LPG kegunaan industri adalah tertakluk kepada harga pasaran," kata pada persidangan Parlimen, disini hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato' Hajah Siti Zailah Mohd Yusoff apakah tindakan Kementerian berhubung kenaikan harga LPG yang membebankan peniaga kecil dan penjaja makanan di kawasan luar bandar serta pertanyaan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato' Rosol bin Wahid bagaimana Kementerian memastikan penguatkuasaan tong gas ungu atau LPG komersial tidak membebankan peniaga kecil yang bergantung kepada tong gas bersubsidi. Apakah mekanisma penyasaran subsidi yang diwujudkan untuk golongan ini bagi mengelakkan kenaikan harga makanan harian yang akan membebankan golongan B40.
Armizan menjelaskan, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 menetapkan bahwa entiti perdagangan dan perniagaan yang menggunakan LPG melebihi 42kg perlu memohon permit barang kawalan berjadual.
"Manakala syarat-syarat permit barang kawalan berjadual yang dikeluarkan beserta Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 tersebut menetapkan pemegang permit barang kawalan tidak boleh menggunakan barang kawalan bersubsidi," katanya.
Namun begitu, katanya Kerajaan akan terus membenarkan penggunaan LPG bersubsidi kepada peniaga makanan dan minuman mikro dan kecil melebihi had tersebut.
"Sehubungan itu, isu berkaitan bebanan kepada peniaga kecil dan penjaja makanan dan minuman tidak berbangkit kerana mereka tetap mendapat manfaat subsidi LPG," katanya.
LPG merupakan barang kawalan yang diwartakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] di bawah kawal selia Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan telah diberikan subsidi oleh kerajaan.
Penguatkuasaan dan pemeriksaan ke atas industri yang berurus niaga dan menggunakan LPG ini telah dilaksanakan oleh KPDN semenjak ia disenaraikan sebagai Barang Kawalan berkuat kuasa pada 21 Oktober 1974.















Comments