Penjaga Pusat Hiburan Edar Dadah Ditahan
- nabalunews
- Sep 23
- 1 min read

23 September 2025
KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga asing yang bekerja sebagai penjaga pust hiburan atau 'bouncer' ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.
Lelaki warga Filipina berusia 32 tahun terbabit dipercayai aktif mengedar dadah jenis ekstasi dan ketamin dalam serbuan polis jam 10.20 malam di Taipan, Inanam, semalam.
Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, suspek berjaya ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
Katanya, ketika cuba ditahan, suspek bertindak melarikan diri sehingga berlaku pergelutan namun berjaya diberkas polis
"Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui satu bungkusan hitam berisi tiga paket dadah dipercayai ekstasi dengan anggaran berat kasar 119.4 gram dan nilai pasaran dianggarkan RM2,400.
"Ujian saringan air kencing terhadap suspek turut didapati positif ketamin, methamphetamine dan amphetamine,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, polis turut merampas sebuah telefon bimbit milik suspek bagi membantu siasatan.
"Siasatan mendapati, suspek mengaku menerima arahan daripada seorang individu untuk mengambil bekalan dadah sebelum diagihkan.
“Suspek turut mengaku sudah terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah sejak awal tahun ini dengan menjual setiap paket pada harga RM800," katanya.
Alhusin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.
Katanya, pihaknya kini sedang mengesan individu yang dipercayai dalang utama dalam sindiket berkenaan.


















Comments