Penjawat awam lanjut pengajian dapat insentif kewangan HPA
- nabalunews
- 6 hours ago
- 2 min read

15 Ogos 2025
PUTRAJAYA: Penjawat awam terdiri daripada Kumpulan Pengurusan & Profesional dan Kumpulan Pelaksana yang melanjutkan pelajaran dengan inisiatif sendiri akan menerima Hadiah Pengiktirafan Akademik (HPA) berbentuk insentif kewangan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, insentif itu akan diberi kepada kumpulan berkenaan yang memulakan dan menamatkan pengajian semasa dalam perkhidmatan dengan menggunakan perbelanjaan sendiri.
Katanya, insentif yang diberikan sekali dalam sepanjang tempoh perkhidmatan itu juga akan diberikan kepada mereka yang memiliki kelayakan akademik lebih tinggi yang diiktiraf.
“Ia akan memberi manfaat kepada seramai 91,672 pegawai awam dengan peruntukan sebanyak RM75.7 juta.
“Sekali dalam sepanjang perkhidmatan sekurang-kurangnya tunjuk bahawa kita galakkan penjawat awam tingkatkan upaya mereka atas ikhtiar dan inisiatif sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA XX) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Menurutnya, kadar HPA tersebut berjumlah RM1,250 bagi penjawat awam yang mendapat ijazah kedoktoran dan RM1,000 bagi penjawat awam yang mendapat ijazah sarjana.
Manakala, RM750 bagi mereka yang mendapat ijazah sarjana muda serta RM500 bagi mereka yang mendapat diploma atau kelayakan setaraf.
Sementara itu, Anwar berkata kerajaan turut bersetuju memperluaskan pemberian insentif berasaskan prestasi (BIPs) kepada Anggota Lain-lain Pangkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM), membabitkan anggota berpangkat Sarjan Setaraf (gred Z4) dan Staf Sarjan Setaraf (gred Z5).
"Tempoh perkhidmatan yang melayakkan insentif BIPs bagi anggota lain-lain pangkat ATM bagi Gred Z4 hingga Z7 dipendekkan kepada empat tahun daripada enam tahun.
"Insentif ini akan memberi faedah kepada 3,789 anggota dengan implikasi sebanyak RM6.47 juta setahun dan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026," katanya.
Selain itu katanya, kerajaan juga akan memperluaskan tujuh Kelayakan Masuk Pelbagai bagi skim perkhidmatan Askar-Lasykar Angkatan Tetap ATM Gred Z1 (Tugas Khusus) termasuk membabitkan Kor Perubatan, Kor Agama dan Kor Kejuruteraan.
Beliau juga mengumumkan peruntukan sejumlah RM3 juta bagi memperkasakan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) sebagai pusat rujukan kecemerlangan perkhidmatan awam di rantau Asia dan global.
Anwar turut mengumumkan lanjutan inisiatif APEL.Q @ INTAN diteruskan untuk 2026 dengan jumlah peruntukan RM1.5 juta, membabitkan tanggungan kos pengajian melalui pemberian bantuan yuran pengajian bagi Program APEL.Q sehingga 50 peratus atau maksimum RM15,000.
Pada masa sama, beliau turut mengumumkan pemansuhan syarat pengesahan dalam perkhidmatan bagi penjawat awam lantikan tetap yang mahu menunaikan ibadah haji.
Comments