top of page
  • Wartawan Nabalu News

Penubuhan BCAA dapat tingkatkan industri penerbangan Sabah, Sarawak - Jeffrey


26 April 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan mencadangkan penubuhan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Borneo (BCAA) untuk mengawal selia dan menjaga industri penerbangan di Sabah dan Sarawak.


Beliau berkata, BCAA boleh menjaga kepentingan kedua-dua negeri dan rakyat Malaysia dengan lebih baik berbanding Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yang didakwa menghadapi masalah dan kelewatan dalam pengendalian hal-hal penerbangan di Sabah.


"Saya percaya BCAA boleh memberi tumpuan untuk mengawal selia dan menjaga kepentingan terbaik industri penerbangan di negeri-negeri Borneo. BCAA akan mempunyai kakitangan yang berbakat dan berkelayakan termasuk beberapa yang berpendidikan, terlatih dan diperakui di Amerika Syarikat oleh institusi penerbangan Amerika," katanya dalam satu kenyataan.


Dr. Jeffrey, yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Negeri, berkata perjalanan udara adalah sektor utama ekonomi Sabah dan Sarawak yang bergantung kepada pelancongan antarabangsa.


Tambah beliau, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) adalah lapangan terbang kedua terbesar dan kedua tersibuk di Malaysia dan hab serantau bagi banyak syarikat penerbangan dengan penerbangan terus antarabangsa.


Jelas beliau, Sarawak ingin menubuhkan syarikat penerbangan butik manakala Sabah sedang berbincang untuk menceburi sektor kargo udara dengan kumpulan logistik yang mantap serta untuk menjadikan Sabah Air Aviation sebagai syarikat penerbangan serantau untuk wilayah BIMP-EAGA.


"Saya akan bangkitkan isu itu pada mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Persekutuan MA63 akan datang," kata Dr Jeffrey, yang juga Ahli Parlimen Keningau dan ADUN Tambunan.


Beliau berkata demikian bagi mengulas isu pertelingkahan berterusan mengenai kadar tambang tinggi ke Sabah dan Sarawak sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri antara Menteri Pengangkutan semasa dan mantannya.


Ujarnya, kerajaan perlu menyediakan penyelesaian untuk kos tinggi perjalanan udara ke Sabah dan Sarawak yang membebankan rakyat terutamanya semasa musim perayaan dan musim cuti puncak.


"Perjalanan udara seharusnya tidak membebankan kerana ia adalah satu-satunya pilihan yang berdaya maju untuk rakyat Malaysia di negeri-negeri Borneo tidak seperti mereka di Malaya yang mempunyai kemewahan laluan darat kos rendah untuk balik kampung untuk Hari Raya," katanya.



bottom of page