top of page

Penularan tibi: KKM tidak wajibkan pakai pelitup muka

  • nabalunews
  • Feb 22
  • 1 min read

22 Februari 2026


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan mewajibkan pemakaian pelitup muka seperti dilaksanakan ketika pandemik COVID-19 bagi mengekang isu penyebaran penyakit Tuberkulosis (tibi).


KKM berkata, pihaknya yakin pendekatan semasa berasaskan tanggungjawab dan perlindungan kendiri lebih relevan berbanding langkah mandatori yang dilaksanakan sebelum ini.


Bagaimanapun, katanya amalan kesihatan awam yang telah diperkukuh ketika pandemik berkenaan wajar diteruskan dalam pencegahan penyakit berjangkit, khususnya yang merebak melalui udara dan sentuhan.


"Walaupun negara sudah melalui fasa peralihan ke endemik COVID-19, risiko penularan jangkitan saluran pernafasan seperti influenza, COVID-19 dan penyakit lain yang merebak melalui droplet dan aerosol masih wujud.


"Justeru pemakaian pelitup muka digalakkan terutama kepada individu mempunyai gejala demam, batuk, selesema atau sakit tekak, mereka yang berada di tempat sesak atau ruang tertutup dengan pengudaraan yang kurang baik," katanya menurut Berita Harian.


Menurutnya, pemakaian pelitup muka turut disyorkan kepada mereka yang mengunjungi fasiliti kesihatan atau jika berinteraksi dengan golongan berisiko tinggi seperti warga emas, pesakit kronik dan individu mempunyai pertahanan diri rendah.


Semalam, KKM memaklumkan sebanyak 596 kes baharu penyakit Tuberculosis atau Tibi didaftarkan bagi Minggu Epidemiologi ke-6 menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini sebanyak 3,161 kes.


Dalam kenyataannya, KKM menjelaskan risiko penularan boleh meningkat sekiranya seseorang terdedah dalam tempoh yang panjang di ruang tertutup, sesak dan kurang pengudaraan, khususnya jika terdapat individu dengan tibi aktif yang belum menjalani rawatan.


Sehubungan itu, orang ramai digalakkan mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul, memastikan pengudaraan yang baik di ruang tertutup, memakai pelitup muka sekiranya bergejala atau berada di tempat sesak.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page