top of page
  • Wartawan Nabalu News

Penurunan pelajar politeknik, kolej komuniti bakal beri kesan masa hadapan negara


17 Mei 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Negara berdepan risiko kekurangan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan dan sains jika trend penurunan pengambilan pelajar politeknik dan kolej komuniti berterusan.


Menurut Pengarah Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Azirin Abdul Aziz berkata pengambilan pelajar kedua-dua institusi pengajian itu menyusut 12.8 peratus tahun ini.


Beliau berkata kira-kira 80,000 pelajar diterima tahun ini berbanding 100,000 pelajar setiap tahun sebelum ini.


"Kita dapati bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kurang diminati pelajar sejak di peringkat sekolah lagi. Kalau kekurangan ini terus berlaku, tidak mustahil dalam masa lima tahun akan datang berlaku pengurangan peluang pekerjaan bidang ini di pasaran kerana kita menawarkan program berdasarkan permintaan semasa industri," katanya.


Azirin berkata faktor utama yang menyumbang kepada penurunan pengambilan pelajar adalah kesan pandemik COVID-19 yang mengubah keadaan sosio ekonomi keluarga.


Jelas beliau, walaupun tiada kajian khusus dilakukan, dipercayai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendorong pelajar lebih cenderung untuk bekerja berbanding menyambung pelajaran.


Tambah beliau lagi, trend kurang minat menyambung pelajaran akan memberi kesan kepada masa hadapan negara yang bercita-cita untuk menjadi negara maju.


"Hal ini kerana hasrat untuk mencapai sebuah negara maju perlu bermula dengan pendidikan, sekurang-kurangnya pada peringkat sijil atau diploma," katanya.


Beliau berkata JPPKK akan terus mempergiatkan langkah promosi bagi menarik minat pelajar untuk menyertai politeknik dan kolej komuniti yang menawarkan program yang relevan dengan keperluan industri.


"Kami melibatkan kelompok sasaran seperti sekolah dan juga menganjurkan program Jom Masuk U di peringkat kebangsaan bagi mempromosi maklumat mengenai program pendidikan yang ditawarkan oleh politeknik dan kolej komuniti," katanya.


Dalam pada itu, beliau berkata kebolehpasaran kerja graduan politeknik dan kolej komuniti adalah melebihi 90 peratus dan tidak memberi masalah kepada pelajar mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian.



Comments


bottom of page