top of page
  • Wartawan Nabalu News

Penyasaran Subsidi Diesel: Penjimatan RM4 bilion akan dimanfaatkan untuk rakyat - PM Anwar


11 Jun 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata penjimatan hasil penyasaran subsidi diesel akan dikembalikan kepada rakyat, terutamanya untuk menampung keperluan pengangkutan awam dan menyokong program Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

 

Jelas beliau, meskipun penyasaran subsidi bukanlah langkah popular, ia mampu menjimatkan RM4 bilion setahun setelah melalui penelitian rapi di pelbagai peringkat.

 

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, “(Penjimatan penyasaran subsidi) diesel itu adalah untuk tampung keperluan pengangkutan awam iaitu pengangkutan rakyat.

 

“Bayangkan STR untuk sembilan juta orang (penerima) yang (mendapat) subsidi tunai secara langsung, itu RM10 bilion. Wang (penyasaran subsidi) itu bukan untuk naikkan elaun menteri ataupun kepentingan lain, saya tumpukan hal ini (bantuan rakyat),” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Warga Kementerian Kewangan di Putrajaya.

 

Harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter bermula semalam (10 Jun) iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik.

 

Anwar menegaskan penyasaran subsidi diesel berkenaan dilaksanakan untuk memastikan diesel tidak diberi kepada golongan maha kaya dan orang asing.

 

“Saya beritahu rakan Jemaah Menteri, kita kena buat keputusan baik, harus bantu rakyat majoriti. Kita tidak harus beri subsidi kepada golongan maha kaya, industri-industri besar dan orang asing. (Hal ini) bukan diskriminasi kepada orang asing kerana mereka tak bayar cukai ... cukai levi yang (dibayar pun) sangat kecil. Tanggungjawab pertama kita adalah kepada warganegara kita,” kata Anwar.

 

Beliau berkata pelaksanaan subsidi diesel bersasar diterima baik parti dalam Kerajaan Perpaduan dan sebahagian pembangkang serta ia akan terus dipantau supaya tiada sebarang permasalahan.

 

“Subsidi (diesel) diteruskan kepada nelayan, pengangkutan awam, pekebun kecil sekitar mencecah 30,000 termasuk pekebun sayur Cameron Highlands kerana tak mahu perkara itu dijadikan alasan untuk menaikkan harga,” kata beliau.

 

Anwar berkata Kerajaan Perpaduan pimpinannya ketika ini telah melaksanakan tiga penyasaran subsidi melibatkan tarif elektrik, pengapungan ayam dan terbaharu diesel yang dijangka memberikan penjimatan kira-kira RM10 bilion.

 

“Langkah ini yang ketiga terbesar ... pertama, tarif elektrik itu kurang kontroversi kerana kita selamatkan 85 peratus rakyat, ia terkena hanya kepada golongan tertinggi 15 peratus ke atas dan warga asing yang kita dapat jimatkan RM4.5 bilion satu tahun. ... kita selamatkan RM1.2 bilion (pengapungan ayam) maknanya politik stabil dan ketegasan tekad politik itu penting, sebab itu selalu saya kaitkan dengan tata kelola, hentikan rasuah kerana ini membantu kita (dan negara),” katanya.

Comments


bottom of page