top of page

Penyebaran kandungan AI mudarat, MCMC siasat platform X

  • nabalunews
  • 2 days ago
  • 1 min read

ree

3 Januari 2026


CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan amaran keras terhadap penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI) yang semakin membimbangkan di platform media sosial, khususnya X.


MCMC berkata, pihaknya memandang serius aduan awam berhubung manipulasi imej wanita dan kanak-kanak menggunakan AI untuk kandungan tidak senonoh, jelik melampau atau memudaratkan di platform berkenaan.


Suruhanjaya itu menegaskan platform tersebut tetap perlu mematuhi Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) walaupun bukan penyedia perkhidmatan berlesen buat masa ini.


“Platform X perlu mematuhi piawan keselamatan dalam talian di Malaysia dan bertanggungjawab mencegah penyebaran kandungan yang memudaratkan.


“MCMC kini sedang menyiasat kemudaratan dalam talian yang berlaku di X dan akan memanggil wakil platform berkenaan,” maklum suruhanjaya itu menerusi kenyataan pada Sabtu.


Tambah kenyataan itu, penghasilan atau penyebaran kandungan memudaratkan tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM).


Ia antara lain melarang penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian atau aplikasi untuk menghantar kandungan berunsur jelik melampau, lucah atau sumbang.


Sehubungan itu, MCMC memaklumkan, pihaknya akan turut memulakan siasatan terhadap pengguna platform X yang disyaki melanggar peraturan tersebut.


“Dengan penguatkuasaan ONSA, platform dalam talian dan penyedia perkhidmatan berlesen dikehendaki mengambil langkah mencegah penyebaran kandungan memudaratkan, termasuk kandungan lucah, tidak senonoh serta bahan penderaan seksual kanak-kanak.


“MCMC menggesa semua platform yang boleh diakses di Malaysia supaya melaksanakan langkah perlindungan selaras dengan undang-undang tempatan serta piawaian keselamatan dalam talian, khususnya berkaitan fungsi AI, chatbot dan aplikasi manipulasi imej,” menurut kenyataan itu.


Dalam masa sama, pengguna internet dan mangsa turut dinasihatkan supaya melaporkan kandungan memudaratkan kepada platform terbabit serta membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MCMC, termasuk melalui portal aduan dalam talian suruhanjaya itu.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page