top of page

Penyelam TLDM Meninggal Dunia Ketika Operasi Salvaj KD Pendekar, jenazah akan dibawa ke Lahad Datu untuk pengebumian

nabalunews

28 Ogos 2024


KUALA LUMPUR: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengesahkan seorang Penyelam Ranjau TLDM dari Markas Selam dan Peperangan Periuk Api (MSPPA), Laskar Kelas (LK) I PLM Arman San Hermansa, meninggal dunia ketika membuat selaman dalam operasi salvaj KD Pendekar di perairan Tanjung Pengelih, Johor hari ini.


Berita Harian melaporkan Bahagian Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut dalam kenyataan hari ini berkata Lembaga Siasatan Khas telah ditubuhkan bagi mengenal pasti punca kejadian.


"Jenazah Allahyarham kini berada di Hospital Sultan Ismail, Johor untuk bedah siasat dan akan dibawa ke Lahad Datu, Sabah untuk pengebumian.


"TLDM akan memastikan segala bentuk bantuan dan sokongan disalurkan kepada keluarga Allahyarham dalam menghadapi dugaan ini.


"TLDM menzahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan syuhada dan golongan yang beriman," katanya.


Sementara itu Bernama melaporkan KD Pendekar tenggelam di perairan Tanjung Penyusop selepas mengalami kebocoran dipercayai akibat terlanggar objek bawah air pada 25 Ogos lalu.


Bagaimanapun, usaha pantas komuniti maritim berjaya menyelamatkan kesemua 39 kru KD Pendekar sebelum kapal itu tenggelam.

Yorumlar


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page