top of page

Perdagangan Sabah kekal kukuh melebihi RM100 bilion bagi tiga tahun berturut-turut

  • nabalunews
  • Jul 4
  • 2 min read

4 Julai 2025


PUTRAJAYA: Perdagangan Sabah kekal kukuh apabila mencatat jumlah dagangan sebanyak RM107.8 bilion pada tahun 2024, sekaligus melepasi paras RM100 bilion bagi tiga tahun berturut-turut.


Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, bagi perbandingan jumlah dagangan Sabah tahun ke tahun pula mencatat pertumbuhan sebanyak 2.7 peratus.


Katanya, eksport Sabah mencatatkan RM61.3 bilion pada 2024, turun sebanyak 2.3 peratus berbanding tahun sebelumnya, sementara import Sabah pula meningkat 10.2 peratus, daripada RM42.2 bilion kepada RM46.4 bilion.

“Pertumbuhan import yang lebih tinggi berbanding eksport menyebabkan imbangan perdagangan mencatatkan susut 27.9 peratus dengan nilai lebihan dagangan yang lebih rendah sebanyak RM14.9 bilion bagi tahun 2024


“Tiga komoditi yang menyumbang kepada eksport Sabah pada tahun 2024 ialah petroleum mentah bernilai RM21.3 bilion, diikuti oleh minyak kelapa sawit (RM17.3 bilion) dan gas asli cecair (RM4.6 bilion).


“Secara keseluruhan, eksport ketiga-tiga produk utama ini berjumlah RM43.2 bilion, menyumbang sebanyak 70.4 peratus kepada keseluruhan nilai eksport Sabah.


“Manakala penyumbang utama import pula adalah produk petroleum bertapis sebanyak RM5.2 bilion, baja dikilangkan (RM1.0 bilion) dan oleokimia berasaskan kelapa sawit (RM266.0 juta),” katanya dalam kenyataan, hari ini.


Menurutnya, eksport Sabah meliputi transaksi perdagangan antarabangsa dan antara wilayah iaitu Semenanjung Malaysia dan Sarawak berdasarkan transaksi fizikal di pintu masuk dan keluar negeri Sabah.


Katanya, dari perspektif antarabangsa, jumlah eksport Sabah meningkat 0.9 peratus atau RM338.8 juta berbanding RM38.9 bilion pada tahun sebelumnya.


“Walaubagaimanapun, eksport Sabah ke Semenanjung Malaysia mencatatkan penyusutan sebanyak 7.2 peratus atau RM1.6 bilion kepada RM20.5 bilion pada tahun 2024.


“Penurunan ini disebabkan oleh pengurangan eksport bagi beberapa komoditi utama seperti petroleum mentah (-RM1.9 bilion, -10.6%), minyak kelapa sawit (-RM45.2 juta, -6.5%), dan oleokimia berasaskan kelapa sawit (-RM17.2 juta,-44.8%),” katanya.


Mohd Uzir berkata, peningkatan import Sabah pada tahun 2024 disokong oleh import yang lebih tinggi dari Semenanjung Malaysia yang meningkat sebanyak 14.9 peratus atau RM3.9 bilion, daripada RM26.0 bilion pada tahun sebelumnya.


Manakala katanya, di peringkat global, terdapat peningkatan import dari Indonesia (+RM418.4 juta, +49.7%), Thailand (+RM112.0 juta, 7.5%) dan China (+RM101.0 juta, 2.4%).


“Mengikut kategori umum, peningkatan import Sabah disokong oleh kategori makanan dan minuman, 10.2 peratus dan bekalan perindustrian, 9.0 peratus.


“Semenanjung Malaysia menyumbang sebanyak 46.8 peratus daripada jumlah dagangan negeri Sabah. Manakala di peringkat antarabangsa, rakan dagangan utama negeri Sabah adalah China, Thailand, Republik Korea, Jepun dan India dengan sumbangan sebanyak 26.8 peratus,” katanya.


Dalam pada itu, Jabatan Perangkaan turut menerbitkan Statistik Perdagangan Luar Negeri tahunan bagi 15 negeri yang memberikan nilaian perdagangan antarabangsa setiap negeri dengan negara-negara antarabangsa lain bagi tempoh 2019 hingga 2024.


Bagi negeri Sabah, nilai yang digunakan adalah nilai perdagangan antarabangsa negeri Sabah tanpa mengambilkira perdagangan negeri Sabah dengan Semenanjung Malaysia dan Sarawak.


Manakala untuk tahun 2024, jumlah perdagangan Sabah mengikut nilaian tersebut mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.6 peratus kepada RM43.0 bilion daripada RM41.5 bilion pada tahun 2023.


Jumlah dagangan ini disumbangkan oleh eksport yang bernilai RM32.1 bilion dan import bernilai RM10.9 bilion. Eksport Sabah mencatatkan peningkatan sebanyak 3.2 peratus kepada RM32.1 bilion pada tahun 2024, berbanding tahun 2023 sebanyak RM31.1 bilion.


Import Sabah pada tahun 2024 bernilai RM10.9 bilion, mencatatkan peningkatan sebanyak 5.0 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Comentarios


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page