Perjanjian Malaysia-AS ada klausa keluar – PM
- nabalunews
- Oct 30, 2025
- 1 min read

30 Oktober 2025
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan pemeteraian Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) mempunyai ‘exit clause’ atau klausa keluar yang membolehkan Malaysia menarik diri secara sah.
Beliau berkata, perjanjian yang ditandatangani bersama Presiden Donald Trump itu telah diteliti secara serius oleh Jemaah Menteri bagi memastikan kepentingan negara sentiasa menjadi keutamaan dalam sebarang kerjasama antarabangsa.
“Pemeteraian perjanjian itu dibuat kerana Malaysia memerlukan pelaburan dan perdagangan bernilai tinggi dari AS bagi merangsang pertumbuhan ekonomi negara.
“Perjanjian perdagangan ini semua ada exit clause. Ada exit clause. Kenapa kita tandatangan juga? Kerana kita memerlukan pelaburan dan perdagangan tinggi dengan AS. Justeru kerajaan tidak apologetik terhadap langkah itu,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang mendakwa perjanjaian itu mengandungi klausa yang berpotensi mengikat Malaysia dan menyamakan perjanjian tersebut sebagai bentuk penjajahan terhadap negara.
Anwar menolak dakwaan itu dan menasihatkan Ahli Parlimen pembangkang agar tidak membuat andaian melulu, sebaliknya meneliti kandungan sebenar perjanjian secara menyeluruh.
“Soal menyerah (kepada AS) itu tak timbul. Begitu juga dengan negara China. Dulu apabila kita baik dengan China, kita juga diserang.
“Sekarang nampak baik dengan AS pun tak boleh, jadi nak dengan siapa? Jadi nak baik dengan siapa? Ini soal negara, bukan politik,” katanya sambil menegaskan beliau bekerja berusaha sedaya upaya mendapat perhatian negara penting untuk faedah serta masa depan Malaysia.















Comments