top of page

Perjanjian perdagangan Malaysia-AS belum berkuat kuasa

  • nabalunews
  • 5 hours ago
  • 1 min read

24 Februari 2026


KUALA LUMPUR: Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) masih belum berkuat kuasa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, ia kerana perjanjian berkenaan masih perlu melalui proses ratifikasi mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.


Sehingga kini, jelasnya, pihak AS belum mengemukakan sebarang cadangan berkaitan tarif untuk dipertimbangkan dalam proses berkenaan, menyebabkan perjanjian tersebut masih tertangguh.


“Kita sedang memantau perkembangan ini dan mengambil maklum bahawa Presiden AS berkemungkinan menggunakan Seksyen 122 Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa Amerika Syarikat (IEEPA).


“Kemudian, masih belum dapat dipastikan sama ada Kongres AS akan bersetuju dengan keputusan Mahkamah Agung atau berbeza pendapat.


“Jadi, Perintah Eksekutif tentang tarif global baru ini, bagi saya, harus dipantau dari dekat dan melihat dari segi kepentingan ekonomi Malaysia,” katanya ketika sesi pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau menjawab pertanyaan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) berkaitan pendirian Malaysia terhadap keputusan Mahkamah Agung AS yang mengisytiharkan tarif yang diperkenalkan oleh Trump sebagai tidak sah serta implikasi terhadap hubungan perdagangan Malaysia-AS.


Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia akan meneruskan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara memandangkan tindakan tarif yang dikenakan tidak melibatkan syarikat tempatan.


“Setakat ini, seperti mana saya tegaskan, kita hanya memantau dan tidak mahu dalam keadaan sekarang mengambil keputusan yang gopoh yang mungkin menjejaskan kepentingan perdagangan kita.


“Ini kerana eksport Malaysia ke AS adalah RM233.1 bilion, ini terlalu tinggi, dan perdagangan dua hala Malaysia dan Amerika Syarikat itu berjumlah RM367.5 bilion,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page