Perluaskan Tempoh Peperiksaan Awam pada Isnin hingga Khamis ke peringkat IPT – Madius
top of page
  • nabalunews

Perluaskan Tempoh Peperiksaan Awam pada Isnin hingga Khamis ke peringkat IPT – Madius


3 Mac 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) meminta pelaksanaan tempoh Peperiksaan Awam di peringkat sekolah menengah pada Isnin hingga khamis turut digunakan dalam Institusi Pengajian Tinggi.


Menurutnya, pelaksanaan tempoh tersebut sebolehnya dijadikan sebagai satu dasar dalam pendidikan di Malaysia.


“Saya berterima kasih kerana akhirnya kerajaan bersetuju dengan tuntutan rakyat agar peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula pada 2 Mac 2022 diadakan hanya pada hari Isnin hingga Khamis.


“Dengan penetapan itu, maka saya mencadangkan agar pelaksanaannya juga diperluaskan kerajaan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta,” katanya.


Beliau berkata demikian semasa sesi ucapan perbahasan usul menjunjung kasih Titah Ucapan DiRaja dalam Persidangan Parlimen Dewan Rakyat, di sini, semalam.


Dalam ucapannya, Madius yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) turut mempersoalkan situasi pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Semester 1 yang tidak dapat menghadiri peperiksaan baru-baru ini kerana menjalani kuarantin.

“Dalam kesempatan ini juga, saya ingin bertanya pada Menteri Kanan Pendidikan, bilakah peperiksaan Semester 1 akan diadakan bagi para pelajar STPM yang tidak dapat hadir dalam peperiksaan tersebut akibat jangkitan Omicron,” katanya.


Untuk rekod, Kementerian Pendidikan telah mengumumkan penjadualan semula peperiksaan kepada pelajar yang menjalani kuarantin dan positif COVID-19 dengan syarat mengemukakan dua dokumen iaitu pengesahan maklumat daripada Pusat Kesihatan Daerah (PKD) dan nota discaj bagi calon yang disahkan positif COVID-19.

bottom of page