Permohonan pembayaran tunai subsidi diesel pemilik kenderaan logistik yang belum terima kad fleet dibuka mulai 1 Julai
28 Jun 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
PUTRAJAYA: Bermula 1 Julai, Kerajaan akan menerima permohonan pembayaran tunai daripada pemilik kenderaan logistik yang layak di bawah Skim Kenderaan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 yang masih belum menerima fleet card mereka.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, pemohon yang layak boleh memohon pembayaran tunai ini melalui portal BUDI MADANI di https://budimadani.gov.my.
“Penuntut akan diberi bayaran semula secara tunai untuk menampung perbezaan antara harga runcit diesel semasa iaitu RM3.35 seliter dan harga subsidi SKDS 2.0 sebanyak RM2.15 seliter, bagi diesel yang digunakan sejak 10 Jun 2024, tertakluk kepada had liter bulanan seperti yang ditetapkan,” kata kenyataan itu.
Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata mekanisme pembayaran semula ini bertujuan untuk membantu perniagaan logistik berkelayakan sejajar dengan mekanisme penyasaran subsidi diesel, dan sekaligus dapat mengurangkan risiko kenaikan harga kepada barangan keperluan.
“Skim subsidi diesel bersasar ini bertujuan menangani ketirisan seterusnya memastikan bantuan yang diberikan dapat dimanfaatkan oleh golongan yang memerlukan. Langkah ini akan memperkasakan lagi pengurusan serta kecekapan kewangan awam dalam usaha untuk meningkatkan kemakmuran negara seperti diilhamkan dalam kerangka Ekonomi MADANI.
“Saya ingin mengulangi bahawa Kerajaan kekal tekad dalam memastikan golongan yang layak akan mendapat manfaat bantuan yang disediakan kerajaan,” kata beliau.
“Kerajaan giat memastikan pelaksanaan skim penyasaran subsidi diesel ini berjalan dengan lancar dan sentiasa terbuka kepada saranan penambahbaikan mencapai matlamatnya,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Kerajaan juga menggesa pemilik-pemilik 23 jenis kenderaan logistik komersial yang layak untuk memohon di bawah SKDS 2.0 supaya membuat permohonan dengan segera bagi mengelak daripada lonjakan kos pengangkutan. Pengusaha perniagaan logistik berkelayakan boleh mengemukakan permohonan di bawah SKDS 2.0 di https://mysubsidi.kpdn.gov.my.
Berikut adalah terma dan syarat bagi mekanisme pembayaran semula interim ini:
1. Pemilik kenderaan logistik yang berkelayakan mesti memastikan telah menerima kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi permohonan di bawah SKDS 2.0 sebelum atau pada 30 Jun 2024, tetapi masih belum menerima fleet card.
2. Permohonan fleet card perlu dihantar kepada syarikat pengendali stesen minyak terlibat sebelum 15 Julai 2024.
3. Tuntutan akan diterima bermula 1 Julai 2024.
4. Tertakluk kepada had liter tuntutan minyak diesel bagi setiap tuntutan, dengan setiap tuntutan hanya untuk perbelanjaan sebulan sebagaimana dinyatakan di Lampiran.
5. Resit asal pembelian diesel hendaklah disimpan bagi tujuan audit.
6. Kementerian Kewangan akan menyalurkan pembayaran semula tunai dalam 15 hari
bekerja bagi setiap tuntutan yang diluluskan.
7. Mekanisme interim pembayaran semula ini bertujuan untuk menampung perbelanjaan tambahan pemohon bermula 10 Jun 2024 sehingga menerima fleet card atau bagi tempoh maksimum dua bulan, mana-mana yang terdahulu.
Comments