top of page

Permohonan UPUOnline ke IPTA dibuka mulai 29 Januari

  • nabalunews
  • 7 days ago
  • 1 min read

22 Januari 2026


KUALA LUMPUR: Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) fasa pertama serta setaraf boleh memohon kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bermula 29 Januari hingga 23 Mac depan melalui UPUOnline.


Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkata, kemasukan Sesi Akademik 2026/2027 itu membabitkan program sijil, asasi, diploma dan ijazah sarjana muda di 20 universiti awam, 36 politeknik, 106 kolej komuniti serta dua institusi di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) di seluruh negara.


Menurut KPT, permohonan seterusnya bagi fasa kedua lepasan STPM atau setaraf akan dibuka pada 13 April hingga 15 Mei 2026.


"Permohonan terbuka kepada pelajar lepasan SPM dan STPM atau setaraf bagi semua program pengajian pada fasa permohonan lepasan SPM dan fasa pertama lepasan STPM/setaraf.


"Manakala hanya program pengajian tidak memerlukan temu duga atau ujian sahaja dibuka pada permohonan fasa kedua lepasan STPM atau setaraf," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.


KPT berkata, pembelian nombor pin UPUOnline boleh dibuat melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 28 Januari sebelum mengemukakan permohonan, dengan harga RM10.60 termasuk caj perkhidmatan.


Menurutnya, kaedah bayaran No. Pin UPUOnline®️ di BSN adalah melalui 387 Kaunter Cawangan BSN selain 843 Automatic Teller Machine (ATM) BSN dan Perbankan Internet myBSN.


"BSN akan mengeluarkan nombor pin UPUOnline berserta salinan resit pembayaran dan calon dinasihatkan menyimpan slip pembayaran sebagai bukti sah pembelian untuk rujukan," katanya.


Sementara itu, KPT turut menggalakkan calon layak memohon kemasukan ke 363 program pengajian ditawarkan kepada lepasan SPM dan 1,146 program kepada lepasan STPM atau setaraf oleh UA, politeknik, kolej komuniti serta MARA di seluruh negara.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page