top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pernas dan MyFranchise labur RM62 juta untuk tambah outlet Gloria Jean’s Coffees dan 1901 Frankfurters

22 Februari 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, Pernas dan MyFranchise akan melabur sebanyak RM62 juta untuk tempoh lima tahun bermula tahun ini sehingga 2029 bagi menambah oultet Gloria Jean’s Coffees dan 1901 Frankfurters.


Beliau berkata, ini adalah inisiatif Pernas dan MyFranchise menambah 50 buah outlet Gloria Jean’s Coffees dan 100 buah outlet 1901 Frankfurters, di seluruh negara.


Katanya lagi, ia dijangka akan memberikan pulangan jualan sebanyak RM1.8 juta setahun bagi Gloria Jean’s Coffees, dan RM600 ribu setahun untuk 1901 Frankfurters.


“Ini juga bakal mencipta sehingga 900 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun,” katanya ketika berucap merasmikan Peluncuran ‘Flagship Store’ (1901 Frankfurter & Gloria Jean’s Coffees dan menandatangani Perjanjian Strategik Ekosistem Malaysia International Franchise Sdn.Bhd, di Menara Pernas, di sini, hari ini.

Mengenai usahawan francais, Ewon berkata Pernas telah menyalurkan pembiayaan lebih RM1.3 bilion untuk membantu para usahawan di Malaysia dan berjaya mencipta lebih 35,000 pekerjaan melalui pembangunan lebih 150 jenama francais sejak 2006.


“Ini seiring dengan matlamat ekonomi madani untuk terus menyokong usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di samping membantu mereka meningkatkan kapasiti perniagaan serta daya saing,” katanya.


Beliau berkata, dalam usaha memperkukuh ekosistem keusahawanan menjadi lebih holistik, Jemaah Menteri bersetuju dengan pemusatan ekosistem francais melalui aspek tadbir urus dan kawal selia industri francais di bawah Akta Francais 1998 diletakkan di bawah KUSKOP.


“Keputusan Jemaah Menteri tersebut menyokong penuh usaha KUSKOP dalam menyediakan Dasar Pembangunan Usahawan Francais Nasional 2030 (D-PUF 2030) yang sedang dimuktamadkan.


“Ini adalah untuk memastikan ekosistem keusahawanan francais di negara ini berkembang dengan lebih teratur dan berstruktur, sekali gus membuka lebih banyak peluang dan meningkatkan potensi keusahawanan di Malaysia,” katanya.

Katanya lagi, dasar ini juga sejajar dengan kerangka ekonomi Madani khususnya dalam membangunkan ekonomi negara melalui industri francais.


“KUSKOP sentiasa menyokong penuh inisiatif Pernas terutamanya dalam usaha memacu keusahawanan francais dan menjadikannya sektor perniagaan ini bernilai tinggi.


“Pernas dan MyFranchise juga telah berusaha mewujudkan ekosistem keusahawanan yang lebih kondusif dan inklusif di negara ini.


“Ini termasuklah penambahbaikan rantaian bekalan, pemantapan pusat penyediaan makanan, logistik, rangkaian bahan mentah dan pemerkasaan pemasaran untuk meningkatkan lagi minat dan penyertaan usahawan francais,” katanya.


Ewon berkata, inisiatif-inisiatif itu akan membantu membangunkan lagi perniagaan francais di negara ini sekali gus menyumbang kepada pengukuhan ekonomi negara.


Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato’ Ramanan Ramakrishnan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Haji Zamri Salleh, Pengerusi Pernas Dato’ Hazimah Zainuddin, Ketua Bahagian Pembangunan Francais Pernas Mazlan Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia International Franchise Sdn. Bhd. Ahmad Jeoffrey Aladib.

Comments


bottom of page