Perolehan Pesawat Pejuang F/A-18C/D Milik Kuwait Tepati Perancangan TUDM - Mohamed Khaled
12 Oktober 2024
KUALA LUMPUR : Cadangan perolehan 38 buah pesawat pejuang F/A-18C/D Hornet milik Tentera Udara Kuwait (KAF), menetapi perancangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata perolehan pesawat pejuang berkenaan juga wajar, kerana pesawat pejuang itu mempunyai jam penerbangan yang rendah.
“Perolehan pesawat pejuang ini adalah wajar. Jika dilihat pesawat ini hanya merekodkan antara 2,000 hingga ke 3,000 jam penerbangan daripada 6,000 hingga 7,000 jam penerbangan maksimum,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis pelancaran inisiatif Parajurit Broadband dan penyerahan Memorandum Persefahaman antara Angkatan Tentera Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, di sini, semalam.
Turut hadir Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Penglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman.
Mohamed Khaled berkata proses pembelian pesawat pejuang baharu memakan masa yang panjang mencecah sehingga 10 tahun, bermula dari tempoh perancangan sehinggalah penerimaan aset dan melibatkan pelbagai aspek perbincangan dari segi spesifikasi, kelengkapan dan kos.
Beliau berkata perancangan untuk membeli pesawat pejuang F/A-18C/D atau dipanggil ‘Legacy Hornet’ milik KAF telah bermula sejak 2018 apabila kerajaan negara Timur Tengah itu memesan pesawat pejuang baharu untuk kegunaannya.
KAF memesan pesawat pejuang baharu terdiri daripada F/A-18E/F Super Hornet dan Eurofighter Typhoon untuk menggantikan pesawat pejuang F/A-18C/D miliknya.
“Kita perlu faham terdapat macam-macam kelengkapan dalam pesawat pejuang itu, peralatan dia bukan datang daripada satu syarikat, kita kena pastikan ia sesuai untuk negara kita dan ia dalam kemampuan kita serta ia yang terkini.
“Sekiranya cadangan perolehan pesawat pejuang milik KAF itu jika dipersetujui, maka, ia akan berfungsi sebagai stop gap measures, apabila pesawat pejuang ringan Hawk 208/108 yang berpangkalan di Labuan akan dinyahtauliah pada 2027,” katanya.
Terdahulu Mohamed Khaled berkata Kuwait memberikan jawapan positif berkaitan perolehan pesawat pejuang F/A-18C/D berkenaan dan kedua-dua negara bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi memulakan perbincangan serta rundingan.
Beliau berkata jawatankuasa yang dibentuk dengan melibatkan pegawai tentera antara kedua-dua negara itu, akan mendalami sekiranya prasyarat dipenuhi seterusnya membolehkan proses pembelian dilakukan.
Mengulas jika terdapat keperluan membawa pulang pegawai dan anggota Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 di Lubnan susulan serangan tentera rejim Israel di selatan negara itu, Menteri Pertahanan berkata hal keselamatan anggota yang bertugas di sana sentiasa menjadi keutamaan beliau.
Beliau berkata Kementerian Pertahanan menerima laporan antara tiga hingga ke empat kali sehari daripada Markas Angkatan Bersama mengenai situasi terkini di Lubnan, susulan peningkatan ketegangan di rantau terbabit.
“Buat masa ini semua aktiviti rondaan telah dihentikan dan anggota diarahkan untuk berada di bunker masing-masing jika tidak bertugas, sebarang keputusan untuk membawa mereka balik akan dilakukan oleh Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).
Terdahulu Bernama melaporkan Menteri Luar Indonesia mengesahkan dua anggota pengaman negara itu cedera akibat tembakan kereta kebal dalam serangan IDF di selatan Lubnan.
Comments