Pertanian, Pendidikan ditekankan dalam Perbahasan Konvensyen UPKO
- nabalunews
- Aug 15, 2024
- 4 min read

15 Ogos 2024
PENAMPANG: Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Malaysia Felix Joseph Saang mengusulkan agar Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) memberikan kuota yang khusus kepada pelajar yang berkelayakan daripada Sabah untuk mendapat biasiswa sepenuhnya.
Beliau mengemukakan cadangan itu dalam perbahasan di Konvensyen Nasional UPKO 2024 di Dewan Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang, 11 Ogos lalu.
Felix yang juga Ketua Bahagian UPKO Telupid turut mencadangkan agar UKKM membuka sebuah cawangan di Sabah untuk memudahkan kemasukan pelajar-pelajar dari Sabah.
Katanya UKKM adalah sebuah Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia milik penuh Institut Koperasi Malaysia (IKMa) sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Keusahawanan Dan Koperasi yang telah ditubuhkan pada 28 Mac 2022 dan mendapat Perakuan pendaftaran pada 29 Mac 2023 di bawah Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta 1996 (Akta 555).
Beliau mengajak belia lepasan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk tidak melepaskan peluang melanjutkan pengajian ke UKKM dalam bidang koperasi dan keusahawanan.
"UKKM merupakan institusi pertama di Malaysia yang mengkhususkan dalam keusahawanan koperasi dan pengajian pengurusan. Ia adalah satu usaha untuk menjadi peneraju dalam mengubah dan melahirkan lebih ramai professional dalam sector koperasi dan keusahawanan," katanya.
Felix yang juga Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah UKKM berkata visi universiti itu adalah menjadi Universiti yang cemerlang dalam kebitaraan keusahawanan dan koperasi berlandaskan kesejahteraan dan pembangunan mapan ekonomi negara.
Katanya belia Sabah boleh menjana ilmu kecemerlangan keusahawanan dan koperasi menerusi pengajaran, pembelajaran, penyelidikan, penerbitan dan pengembangan untuk mencapai wawasan negara.
Untuk rekod, Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi telah dimashyurkan sebagai Canselor pertama UKKM pada Jun 2024.
"Sesuai dengan saranan dan seruan YB Datuk Presiden agar UPKO menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah kemiskinan tegar di Sabah melalui gerakan keusahawanan dan pendidikan. Oleh itu, UKKM mempunyai peranan dalam menoktahkan kemiskinan melalui pendidikan
"Dalam tempoh yang singkat UKKM telah memperolehi beberapa peningkatan. Matlamat UKKM dalam tempoh 2 -3 tahun ini adalah untuk menjadikan UKKM salah satu universiti yang terbaik untuk melahirkan golongan professional dalam bidang keusahawanan dan koperasi.
"Pelajar-pelajar atau golongan yang sudah bekerja dan mahu meningkatkan pencapaian akademik mereka boleh rebut peluang yang ditawarkan oleh UKKM, khusus sekali dalam bidang keusahawanan dan koperasi," katanya.
Sementara itu Bendahari Agung UPKO merangkap Ketua Bahagian UPKO Kota Kinabalu, Dennison R Indang dalam ucapan perbahasannya menekankan mengenai potensi besar dalam komoditi lada di Sabah sebagai satu cara untuk meningkatkan pendapatan dan mengurangkan kemiskinan tegar di kalangan rakyat, terutamanya di luar bandar.
Beliau turut memberi tumpuan soal kepentingan sokongan politik dan usaha berterusan untuk mempromosikan penanaman lada melalui kerjasama dengan agensi seperti Lembaga Lada Malaysia (MPB) dan pemimpin tempatan.
"Pentingnya penyelarasan, kesedaran, dan penglibatan masyarakat dalam usaha ini. Juga saya tekankan, dengan harapan usaha yang dimulakan ini dapat membawa perubahan positif jangka panjang kepada sosio-ekonomi masyarakat luar bandar.
Dennison berkata komoditi yang dipanggil lada di Sabah dikenali lada sulah di kawasan pedalaman Sabah.
Manakala di pantai Timur Sabah, lada dikenali Merica.
Beliau yang sudah berkecimpung dalam bidang pertanian sejak kira-kira 15 tahun lalu berkata komoditi lada tidak memerlukan tanah yang besar.
" Sebagai satu alternatif penjanaan ekonomi, kalau sesiapa ada tanah di depan halaman rumah atau di belakang rumah, satu lot ataupun setengah ekar, sudah cukup untuk mengusahakan penanaman lada ini.
Menurut Dennison dengan keluasan tanah hanya setengah ekar, ia boleh ditanam dengan 500 pokok lada.
"Kita lihat petikan berita baru baru ini 17 Julai 2024. Dilaporkan bahawa 38% keluarga miskin tegar seluruh Malaysia berada di Sabah. Daerah-Daerah termiskin di Sabah Tongod, Beluran, Pitas, Kinabatangan, Kota Marudu, Tuaran, Ranau dan Lahad Datu merupakan daerah-daerah yang telah dikenalpast sebagai mempunyai tanah yang subur dan taburan hujan yang baik untuk pertumbuhan lada.
"Sejak penubuhan Jemaah Pemasaran Lada Hitam JPLH pada tahun 1972, sehingga kini sudah lebih 30,000 keluarga di Sarawak keluar daripada kepompong kemiskinan tegar yang merujuk kepada isi rumah dengan pendapatan bulanan bawah RM1,169 mengikut definisi terkini," katanya.
Katanya Sarawak merupakan pengeluar utama lada di Malaysia dengan menyumbang sebanyak 98% pengeluaran lada Malaysia.
"Pada tahun 2022 pengeluaran lada Malaysia adalah sekitar 32,700 metrik tan. Maksudnya di Sarawak sahaja pengeluaran lada adalah sekitar 32,046 metrik tan.
"Apakah kelebihan tanaman ini yang membolehkan begitu ramai keluarga di Sarawak keluar daripada kelompok miskin tegar sejak dari tahun 1970an?
Katanya antara kebaikan hasil lada ini adalah apabila ia sudah dituai dan keringkan.
"Apabila disimpan dengan baik, boleh bertahan sehingga bertahun-tahun. Di Sarawak hasil lada ini disimpan dalam guni dan mereka gunakan seakan-akan fixed deposit dan menjual bila ada keperluan kewangan.
"Satu guni di sana biasanya dalam 60 kg. Jika mengikut harga lada putih RM25/kg. Berapakah nilai satu guni lada? Adakah satu guni lada bagi sebulan, mencukupi untuk keluar daripada kategori miskin tegar?
Sehubungan itu katanya sekiranya sesiapa menceburi bidang
ini dan menanam lada, pembelian hasil lada adalah terjamin dengan adanya usahawan-usahawan tempatan yang membeli hasil lada itu.
"Sabah mampu menjana pendapatan alternatif di dalam penanaman lada hari ini. Di Sabah, pejabat agensi khusus yang
menjaga pemegang taruh sudah bertapak 17 tahun.
"Atas berkat kepimpinan Presiden kita dan juga Presiden Kehormat, kita mempunyai wakil dari Sabah yang duduk di dalam kerusi Ahli Lembaga mewakili pemegang taruh di Sabah.
"Terima kasih Yang Berhormat Datuk Presiden, tanggungjawab ini akan saya galas dengan sebaik-baiknya," katanya.
Bagi yang berminat mengusahakan tanaman lada, boleh menghubungi Bendahari Agung UPKO merangkap Ketua Bahagian UPKO Kota Kinabalu Dennison R Indang di talian 0128335757
Comments