Pertanian pintar strategi tarik minat belia ceburi sektor pertanian
- nabalunews
- 18 hours ago
- 2 min read

17 Disember 2025
KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah melalui Jabatan Pertanian melaksanakan latihan teknologi pertanian pintar sebagai strategi jangka pendek bagi menarik minat generasi muda menceburi sektor pertanian.
Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, latihan itu membabitkan penggunaan teknologi Internet Pelbagai Benda (IoT), dron, sistem pengairan pintar dan kaedah pertanian tepat bagi meningkatkan kecekapan pengurusan ladang dan produktiviti hasil.
“Manakala strategi jangka panjang melibatkan model pertanian pintar seperti rumah hijau berasaskan IoT, kilang sayuran berasaskan kontena dan sistem pengairan automasi di ladang tanaman.
“Pendekatan ini bertujuan meningkatkan kecekapan pengurusan ladang, produktiviti hasil serta daya tahan sektor pertanian terhadap kesan perubahan iklim,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.
Menurut Jamawi, penubuhan Pusat Bioteknologi Pertanian Sabah (SABTeC) di Tuaran akan memperkukuh penyelidikan dan pembangunan, khususnya dalam menangani impak perubahan iklim terhadap tanaman.
“Ia termasuk pembangunan varieti tanaman seperti padi berhasil tinggi yang toleran terhadap kemarau, banjir kilat dan air masin melalui kerjasama dengan institusi penyelidikan tempatan dan antarabangsa.
“Peruntukan sebanyak RM430,000 diperuntukkan bagi pelaksanaan program mekanisasi, automasi dan pertanian pintar pada 2026,” jelasnya.
Seiring usaha memperkukuh keterjaminan makanan dan memperkasakan rakyat, katanya kementerian turut merangka Program Mentor–Mentee Pertanian bagi mengenal pasti individu muda yang aktif dalam bidang pertanian serta membimbing generasi muda untuk menceburi sektor berkenaan.
Menyentuh mengenai ekonomi digital, Jamawi berkata usahawan industri makanan perlu digalakkan memanfaatkan platform digital bagi meluaskan pasaran dan meningkatkan pendapatan.
Katanya, kejayaan tokoh usahawan tempatan seperti Datuk Seri Vida, Dato’ Aliff Syukri dan Khairul Aming membuktikan membuktikan platform digital mampu menembusi pasaran lebih luas dan melonjakkan pendapatan pengusaha.
“Kementerian berhasrat melahirkan belia Sabah berpotensi tinggi dalam pemprosesan makanan agar mampu menjana pendapatan lumayan melalui sokongan insentif dan bantuan kementerian,” ujarnya.


















Comments