Perubahan iklim pengaruhi pembiakan nyamuk Aedes
- nabalunews
- Sep 30, 2024
- 1 min read

29 September 2024
PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata perubahan iklim menjadi antara faktor yang mempengaruhi pembiakan nyamuk Aedes di negara ini.
Katanya proses pembiakannya menjadi sangat aktif apabila berlaku perubahan iklim, kerana terdapat perubahan suhu ketara.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Gotong Royong Mega Perangi Aedes 2.0, 1 Hour Malaysia Clean Up dan Hari Cuci Malaysia di sini, semalam.
Sebelum ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan keadaan cuaca memainkan peranan penting dalam penularan demam denggi kerana ia mempengaruhi habitat dan kelangsungan hidup nyamuk Aedes Aegypti.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula dalam kenyataan baru-baru ini memaklumkan fasa peralihan monsun bermula pada 24 September lalu dijangka berterusan sehingga November ini.
Sehingga Minggu Epidemologi ke-38 (ME38) iaitu bagi tempoh 15 Sept hingga 21 Sept lepas, KKM melaporkan terdapat 1,514 kes demam denggi dengan dua kematian direkodkan akibat komplikasi demam denggi.
Merujuk kepada data tersebut, Dr Dzulkefly berkata KKM akan memperkasakan aktiviti pencegahan dan kawalan denggi melalui pejabat kesihatan daerah, klinik kesihatan dan pasukan sukarelawan Komunikasi untuk Perubahan Tingkahlaku (COMBI).
Antara aktiviti yang dijalankan KKM adalah pemantauan kawalan vektor, pemeriksaan tempat pembiakan Aedes dan jalinan kerjasama dengan pelbagai agensi.
Kommentare