top of page

PETRA perkukuh kesiapsiagaan banjir menjelang Aidilfitri

  • nabalunews
  • 3 hours ago
  • 2 min read

19 Mac 2026


PUTRAJAYA: Kesiapsiagaan operasi pengurusan risiko banjir bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) terus menjadi keutamaan kerajaan dalam memastikan keselamatan rakyat kekal terjamin, khususnya menjelang musim perayaan Aidilfitri.


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya sejak permulaan musim MTL pada November 2025 yang dijangka berakhir Mac ini.


Menurut beliau, pelaksanaan perancangan awal, penyelarasan sumber serta kesiapsiagaan operasi terus menjadi fokus utama kementeriannya menerusi JPS bagi memastikan pengurusan risiko banjir dapat dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh


Setakat 17 Mac lepas, katanya, sebanyak 745 kejadian banjir telah direkodkan di seluruh negara kecuali Wilayah Persekutuan Putrajaya.


“Bagi memastikan tahap kesiapsiagaan pada tahap optimum dalam menghadapi MTL, pemantauan operasi ramalan dan amaran banjir dilaksanakan 24 jam sehari menerusi model ramalan di 36 lembangan sungai yang dikendalikan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN).


“Sistem ini turut di sokong oleh 1,798 stesen hidrologi telemetri yang merekodkan data hujan dan aras air sungai, dengan 64 hebahan ramalan awal banjir serta 39 amaran telah dikeluarkan setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Selain itu, Fadillah berkata sebanyak 614 siren amaran banjir dan 197 kamera pemantauan telah dipasang di lokasi strategik di seluruh negara, dengan 675 pengaktifan siren direkodkan setakat 16 Mac lepas sebagai langkah amaran awal kepada penduduk.


Jelasnya, sebanyak 3,682 lokasi hotspot banjir turut dikenal pasti di seluruh negara berdasarkan rekod kejadian berulang, dengan Pahang mencatat jumlah tertinggi iaitu 760 lokasi diikuti Kelantan diikuti oleh Kelantan sebanyak 618 lokasi, dan Sabah sebanyak 517 lokasi.


“Dalam pada itu aset operasi seperti 606 pam mudah alih, 1,079 pintu kawalan air dan 285 rumah pam berada dalam keadaan baik serta bersedia digunakan pada bila-bila masa.


“Selain itu, pemantauan turut dijalankan ke atas 16 empangan kendalian JPS, 761 kolam takungan banjir serta kerja penyelenggaraan berkala di lembangan sungai berisiko tinggi,” ujarnya.


Fadillah berkata, kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta syarikat telekomunikasi turut diperkukuh bagi penyampaian hebahan amaran banjir melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada penduduk di kawasan berisiko.


Pada masa sama, katanya, penyelarasan bersama dengan kerajaan negeri turut dilakukan bagi menetapkan prosedur operasi standard pelepasan air empangan untuk meningkatkan kapasiti takungan sepanjang musim MTL.


Katanya lagi, orang awam disaran untuk sentiasa mengikuti maklumat berkaitan ramalan dan amaran banjir yang dikeluarkan secara rasmi oleh JPS melalui laman web Public Infobanjir serta aplikasi MyPublicInfoBanjir.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page