top of page

Petugas Sabah Electricity ditemui lemas selepas 3 hari hilang

  • nabalunews
  • Sep 19
  • 1 min read

ree

18 September 2025


KOTA KINABALU: Petugas Sabah Electricity Sdn Bhd, Masedeh Rosmin, 35, yang sebelum ini dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras di Sungai Nuntunan, Apin-Apin, Keningau pada Selasa ditemukan lemas petang tadi.


Sabah Electricity dalam kenyataan malam ini menzahirkan rasa dukacita atas kehilangan tersebut dan merakamkan ucapan takziah serta simpati yang mendalam kepada ahli keluarga Allahyarham.


“Pihak Sabah Electricity akan memastikan segala sokongan yang sewajarnya, termasuk bantuan kebajikan dan sokongan emosi, diberikan kepada keluarga beliau.


"Kehilangan Allahyarham amat dirasai oleh seluruh warga Sabah Electricity. Beliau dikenang sebagai seorang kakitangan yang berdedikasi tinggi dalam melaksanakan tugas,” menurut kenyataan itu.


Pada masa sama, Sabah Electricity meminta semua pihak menghormati sensitiviti situasi ini serta memberikan ruang kepada keluarga mangsa dalam mendepani detik sukar.


Dalam pada itu, syarikat berkenaan turut menyampaikan penghargaan kepada pihak berkuasa dan pasukan penyelamat yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat.


Ia termasuk Team Gelen Star, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta rakan sekerja Allahyarham yang menjalankan operasi pencarian.


Dalam kejadian pada Selasa, tiga petugas Sabah Electricity dibawa arus banjir ketika ke Kampung Nuntunan Apin-Apin, Keningau untuk menjalankan operasi pemulihan bekalan elektrik. Dua daripada mereka berjaya menyelamatkan diri, manakala seorang lagi dihanyutkan arus.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page