top of page

PGRS Bahagian Sindumin buat laporan polis terhadap kenyataan fitnah Albert Tei

  • nabalunews
  • 2 days ago
  • 2 min read

3 Julai 2025


SIPITANG: Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Sindumin hari ini, membuat satu laporan polis terhadap Albert Tei Jiann Chieng berhubung dakwaan berunsur fitnah dan tohmahan serius yang disiarkan secara terbuka melalui media sosial.


Laporan berkenaan dibuat di Balai Polis Daerah Sipitang pada jam 8.56 pagi oleh Ketua Penerangan PGRS Sindumin, Helmy Saidin setelah satu video siaran media tular di laman Facebook yang menunjukkan Albert membuat pelbagai tuduhan terhadap pimpinan negeri dan pusat termasuk Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor serta YB Datuk Dr Yusof Yacob, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin.


Dalam laporan itu, Helmi menyatakan, Albert mempertikaikan siasatan dan pendakwaan ke atas beberapa individu politik, serta mengaitkan tujuh lagi ADUN termasuk Ketua Menteri, dengan dakwaan tidak berasas.


Malah, beliau turut membuat spekulasi terhadap kemungkinan dirinya dianiaya termasuk dibunuh atau diculik.


“Antara kenyataan Albert yang dipetik termasuk, "bagaimana dengan jerung-jerung yang tertinggal itu? Dua orang sahaja dituduh. Bagaimana dengan tujuh orang lagi? Terutamanya Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.”


“Saya menyuruh seluruh rakyat Malaysia menjadi saksi hari ini jika saya mengalami sebarang musibah selepas ini, saya dibunuh ke, diculik ke, saya hilang tiba-tiba,” katanya.


Menurut Helmi, kenyataan itu secara langsung memberi gambaran bahawa Ketua Menteri Sabah dan YB Datuk Dr Yusof Yacob telah melakukan kesalahan undang-undang, campur tangan dalam proses pendakwaan dan siasatan SPRM dan terlibat dalam perancangan jenayah terhadap Albert termasuk penculikan dan pembunuhan.


Tambah Helmy lagi, tindakan Albert dianggap sebagai cubaan mencemar imej pemimpin negeri serta institusi perundangan negara, dan sebagai satu fitnah jenayah, hasutan, serta penghinaan terhadap sistem kehakiman.


Sehubungan itu, Helmy meminta pihak berkuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap Albert di bawah peruntukan undang-undang.


Katanya, ini termasuklah di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan (Fitnah Jenayah), Seksyen 4 Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page