PH akan bentuk tiga jawatankuasa, hadapi PRU-15
top of page
  • Farah Salim

PH akan bentuk tiga jawatankuasa, hadapi PRU-15



10 Mei 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) akan membentuk tiga jawatankuasa sebagai persiapan jentera PH serta membangkitkan semangat rakyat terutama pengundi atas pagar menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Majlis Presiden PH berkata, jawatankuasa yang akan dibentuk ialah Jawatankuasa Pilihanraya, Jawatankuasa Manifesto dan Jawatankuasa Jelajah Harapan.


Menurut kenyataan itu, Pakatan Harapan akan melipat gandakan usaha, merangkul seluruh kekuatan pembangkang untuk memastikan PRU15 milik rakyat.


“Kejayaan yang ditempuh pada PRU14 mampu berlaku bila Pakatan Harapan mengatur strategi terbaik, menjiwai hasrat dan denyut nadi rakyat, serta berusaha sepenuh daya meyakini para pengundi.


“Pengalaman pahit pengkhianatan Langkah Sheraton harus mengajar kita erti sebenar perjuangan. Ia wajib menyedarkan kita bahawa kemenangan bermakna menunaikan amanah dan tanggungjawab dengan cemerlang.


“Kita juga perlu waspada terhadap kelompok dan puak yang tidak senang dengan kemenangan rakyat,” katanya dalam kenyataan media hari ini sempena ulang tahun ke-4 terbentuknya Kerajaan Pakatan Harapan selepas hari mengundi bagi Pilihanraya Umum ke-14.


Menurut kenyataan itu, pada hari ini, empat tahun lalu, sebuah Kerajaan baharu berjaya dibentuk atas semangat rakyat Malaysia yang bersama-sama bangkit menolak UMNO-BN dengan memilih Pakatan Harapan seterusnya menyebabkan perubahan Kerajaan Persekutuan yang pertama sejak Merdeka.


“Pada ketika itu, tiada sesiapa yang mampu menjangka perubahan bersejarah tersebut boleh berlaku. Malah ada penganalisa yang menyatakan bahawa BN akan menang mudah dengan 2/3 kerusi Parlimen.


“Namun yang jelas, semangat rakyat untuk melakukan perubahan pada saat itu telah memungkinkan perubahan yang amat bermakna dalam sejarah politik tanah air,” katanya.


Majlis Presiden mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Parlimen dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri yang kekal setia dengan prinsip perjuangan Pakatan Harapan.


“Pada masa yang sama, kami mengulangi pendirian bahawa Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti perlu dibentang dan diluluskan Parlimen bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi di Malaysia,” kata Majlis Presiden PH.


Pakatan Harapan juga komited menghormati Perjanjian Malaysia 1963. Terbentuknya Persekutuan Malaysia pada tahun 1963 adalah berdasarkan kepada persefahaman dan niat ikhlas di kalangan pemimpin-pemimpin pengasas terdahulu untuk melihat sebuah negara Malaysia yang kemakmuran dan kemajuannya dapat dirasai bersama seluruh rakyatnya.


“Segala peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf hak istimewa kepada Sabah dan Sarawak perlu dilaksana seperti perkara 112C dan 112D yang mana tafsirannya perlu dibuat berdasarkan niat Perlembagaan dan bukannya dibuat untuk menidakkan hak Sabah dan Sarawak.


Kenyataan itu dikeluarkan bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu, Parti Tindakan Demokratik (DAP) Loke Siew Fook dan Ppresiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Madius Tangau.


bottom of page