PH beri jaminan sambung siasatan skandal LCS jika diberi mandat pada PRU akan datang
top of page
  • Wartawan Nabalu News

PH beri jaminan sambung siasatan skandal LCS jika diberi mandat pada PRU akan datang


18 Ogos 2022

Oleh Wartawan Nabalu News

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) memberi jaminan akan menyambung kembali siasatan berhubung skandal kapal tempur pesisir (LCS) yang sebelum ini dihentikan oleh kerajaan PN dan BN, jika rakyat memberikan mandat semula kepada PH pada pilihan raya umum akan datang.


PH dalam kenyataan hari ini berkata mereka juga akan melaksanakan segala strategi yang dikemukakan melalui Kertas Putih Pertahanan yang dibentangkan sebelum ini.


“Kami juga akan memastikan tentera kita mendapat layanan terbaik dan warganya dibekalkan dengan kelengkapan sesuai dan terbaik untuk menjalankan tugas mereka untuk negara,” kata PH dalam satu kenyataan bersama hari ini.


Kenyataan bersama itu dikeluarkan Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil; Setiausaha Publisiti DAP, Teo Nie Ching dan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Samad.


Dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang dibentang oleh Menteri Pertahanan ketika Pakatan Harapan memerintah negara, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengharapkan mereka mempunyai Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang dilengkapi helikopter yang memiliki keupayaan peperangan anti udara, anti permukaan anti kapal selam.


LCS juga diharapkan dapat menggantikan kapal frigat dan korvet yang telah berusia.


“Dengan terdedahnya apa yang berlaku kepada LCS, kami yakin pihak yang paling sedih dengan skandal ini adalah penggunanya iaitu warga TLDM sendiri di samping rakyat negara ini.


“Kami kesal sikap kepimpinan Umno sebelum ini yang melayan tentera secara ‘Take it or Leave it’ apabila mereka memesan kelengkapan ketenteraan tanpa mengambil kira keperluan penggunanya iaitu anggota tentera kita,” kata PH.


Pendedahan laporan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) bahawa Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarah rekabentuk LCS ditukar dari SIGMA yang diperlukan TLDM kepada GOWIND yang dicadangkan oleh pembekal dari Perancis melalui BNS adalah contoh jelas tragedi “Take it or Leave it” yang berlaku. Pembekal dari Perancis ini juga yang membekalkan Scorpean sebelum ini.


“Malaysia adalah sebuah negara maritim yang dikelilingi lautan dan sentiasa terdedah kepada ancaman. Antara bentuk ancaman adalah rompakan di laut, perlanunan, penculikan untuk tebusan, penyeludupan barang terlarang, pencerobohan migran dan kecurian hasil laut oleh pihak nelayan asing.


“Dianggarkan kerajaan rugi hampir RM6 bilion setahun akibat kegiatan perikanan haram dan jenayah lain di domain maritim kita.


“Menurut panglima TLDM, Tan Sri Mohd Reza Sany sebagaimana dipetik oleh agensi berita nasional, BERNAMA pada 28 April 2022, 61 peratus aset-aset TLDM adalah usang. Akibatnya, anggota TLDM tidak boleh menjalankan tugas mereka dengan baik,” kata kenyataan itu.


Jelas PH, TLDM berperanan penting menjaga keselamatan di kawasan lautan yang merupakan kawasan yang kaya dengan sumber semulajadi dan hidrokarbon yang merupakan penyumbang utama kepada pendapatan negara.


“Oleh itu TLDM perlu dalam keadaan siapsiaga sepanjang masa untuk mendepani ancaman maritim termasuk dari sudut kelengkapan dan keupayaan aset-asetnya,” katanya.

bottom of page