PH cadang kerajaan sedia dana RM30 juta insentif pengusaha dan petaniPH cadang kerajaan sedia dana RM30 juta insentif pengusaha dan petani
top of page
  • Writer's pictureMarryan Razan

PH cadang kerajaan sedia dana RM30 juta insentif pengusaha dan petani


2 Nov 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) mencadangkan supaya kerajaan menyediakan dana RM30 juta sebagai insentif kepada pengusaha dan petani mengeksport hasil pertanian mereka ke Semenanjung Malaysia.


Ahli Parlimen Tuaran Datuk Wilfred Madius Tangau berkata, selain meningkatkan pendapatan petani, langkah ini juga memberi sumbangan kepada pengurangan import makanan negara yang kini mencecah RM50 bilion setahun.


“Masih ada 700,000 ha tanah yang sesuai untuk pertanian di Sabah. Namun, pengusaha dan petani menghadapi masalah pemasaran akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) yang berpanjangan.


“Sebab itu, PH mencadangkan supaya kerajaan menyediakan dana sebanyak RM30 Juta sebagai insentif ataupun menggalakkan pengusaha dan para petani mengeksport hasil pertanian mereka ke Semenanjung Malaysia,” katanya ketika menyampaikan ucapan perbahasan Bajet 2022, di Dewan Rakyat, hari ini.


Madius berkata, antara pengajaran yang diperolehi daripada pandemik ini ialah, struktur ekonomi Sabah yang sangat bergantung kepada pelancongan dan eksport komoditi seperti petroleum dan gas serta kelapa sawit.


“Bagi mempertingkatkan daya tahan serta pembaharuan ekonomi Sabah, maka sumbangan industri pembuatan yang sangat rendah iaitu hanya 7.2 peratus perlu ditingkatkan kepada 30 peratus.


“Untuk mengorak langkah ke arah itu, PH telah mencadangkan supaya dalam Bajet 2022 ini disediakan RM100 Juta sebagai insentif untuk mempromosi labour-intensive manufacturing di Tanah Besar Malaysia iaitu RM50 Juta untuk Sabah, dan RM50 Juta untuk Sarawak.


“Walaupun dana yang dicadang berupa token memandangkan sektor pembuatan ini memerlukan dana yang besar namun cadangan ini juga tidak diambil peduli,” katanya.


Madius berkata, bagi menjadikan Sabah bertambah menarik sebagai destinasi pelaburan dalam sektor pembuatan, beliau mencadangkan supaya dilaksanakan double freight tax deduction.


“Harus disedari bahawa industri sektor pembuatan adalah berorientasikan eksport memandangkan pasaran tempatan terlalu kecil.


“Selain itu, Jabatan Perdana Menteri dengan Kerajaan Sabah hendaklah membuat penyelarasan terhadap usaha serta aktiviti bagi menarik kemasukan Pelabur. Pihak SEDIA dan agensi pelaburan Kerajaan Sabah iaitu INVEST Sabah hendaklah melaksanakan seperti apa yang telah dibuat oleh Northern Corridor dan InvestPenang,” katanya.


Apa yang menyedihkan katanya, cadangan PH agar Special Grant kepada Sabah dan Sarawak di bawah Pasal 112D Perlembagaan Persekutuan, hendaklah dinaikkan sebanyak empat kali ganda seperti yang dicadangkan oleh Kerajaan PH dahulu tidak dipedulikan


“Ini bererti, Sabah sepatutnya harus mendapat RM106.8 juta dan RM64 juta untuk Sarawak pada Bajet 2022, namun cadangan ini tidak dipedulikan,” katanya.

bottom of page