top of page
  • Wartawan Nabalu News

PH gesa Perdana Menteri bentang RUU Anti Lompat Parti


8 April 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) meminta Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri menyatakan komitmen bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti akan dibentang untuk diluluskan di Parlimen dalam masa terdekat.


Menurut kenyataan PH itu, tarikh Sidang Khas kedua juga perlu ditetapkan dan diumum di Parlimen pada 11 April ini.


“Kami turut menggesa agar menteri yang bertanggungjawab membentang Pindaan Perlembagaan pada 11 April turut menyatakan dengan jelas di Parlimen apakah prinsip-prinsip asas RUU Anti Lompat Parti yang bakal dibentang dan diluluskan dalam Sidang Khas kedua nanti.


“Kami percaya dengan meluluskan Pindaan Perlembagaan dan RUU Anti Lompat Parti, kepercayaan rakyat terhadap proses pilihanraya dan demokrasi berparlimen akan dapat dipulihkan,” kata kenyataan itu, hari ini.


Majlis Presiden PH juga mengulangi pendirian tegas bahawa meluluskan RUU Anti Lompat Parti di Parlimen antara syarat utama dalam Perjanjian Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MoU).


“Amat jelas bahawa Pakatan Harapan tidak akan berkompromi dalam perkara ini.


“Kita memahami keperluan untuk meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bagi memberi punca kuasa untuk menggubal Akta Anti Lompat Parti.


“Justeru, Pakatan Harapan akan menyokong Pindaan Perlembagaan pada sidang khas Parlimen 11 April ini,” katanya.


Namun, syarat utama ialah draf RUU Anti Lompat Parti perlu disegerakan, dan perkara ini telah ditegaskan Jawatankuasa Pemandu MoU yang telah bermesyuarat semalam.


Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyampaikan pendirian Pakatan Harapan ini kepada Perdana Menteri semalam.


Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Hj Mohamad Sabu, Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Anthony Loke dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Panglima Madius Tangau.

תגובות


bottom of page