top of page
  • Farah Salim

PH gesa Wan Junaidi beri komitmen, segera laksana pindaan MA63



25 Okt 2021

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menegaskan bahawa pindaan perlembagaan bagi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) wajar diteruskan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Dr Wan Junaidi Taunku Jaafar perlu memberi komitmen untuk segera melaksana pindaan ini demi keadilan buat rakyat Sabah dan Sarawak.


Menurut satu kenyataan bersama, Majlis Presiden itu menzahirkan rasa kecewa dan kesal dengan sikap Kerajaan yang telah menangguhkan pindaan perlembagaan berhubung MA63.


“Kami difahamkan berdasarkan laporan media bahawa Rang Undang-Undang (RUU) tersebut akan dibentang di Parlimen pada 26 Oktober, namun ia tidak akan dibahas dan diluluskan pada 28 Oktober seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini.


“Penangguhan ini berlaku walaupun proses perbincangan dan rundingan telah diadakan selaras dengan Perkara 5 Memorandum Persefahaman di antara Kerajaan dan Pakatan Harapan,” kata Majlis Presiden itu.


Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Ketua Pembangkang yang juga Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; dan Presiden UPKO, Datuk Wilfred Madius Tangau.


Menurut mereka, PH semestinya akan menyokong penuh usaha ini yang merupakan kesinambungan usaha pimpinan PH sejak sekian lama, termasuk dalam mengiktiraf Hari Malaysia seperti yang diangkat oleh Anwar Ibrahim pada 2008, serta pendirian Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang yang tidak menyokong pindaan Perlembagaan pada 1976 yang telah mengubah status Sabah dan Sarawak dari 'wilayah' menjadi 'negeri’.


Pada Jumaat lalu, Kerajaan telah menangguh RUU pindaan perlembagaan yang akan mentakrifkan semula makna persekutuan atas alasan lebih banyak penjelasan daripada peguan negara perlu didapatkan.

bottom of page