PH hantar wakil bertemu SPR bincang SOP PRN MelakaPH hantar wakil bertemu SPR bincang SOP PRN Melaka
top of page
  • Wartawan Nabalu News

PH hantar wakil bertemu SPR bincang SOP PRN Melaka


21 Okt 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini memutuskan menghantar wakil untuk bertemu serta berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.


Dalam kenyataan media Majlis Presiden PH, ia bertujuan untuk menyampaikan pandangan Pakatan Harapan mengenai SOP pilihan raya negeri Melaka.


Selain itu katanya ia juga bagi memastikan prinsip demokrasi dijunjung, hak parti-parti politik bertemu pengundi tidak terjejas dan perjalanan pilihan raya adil kepada semua pihak terutama ketika Melaka berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara.


“Majlis Presiden turut bersetuju melantik Adly Zahari bagi mengetuai jentera pilihan raya Pakatan Harapan Melaka bagi menghadapi PRN Melaka,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Dalam isu empat bekas ADUN, Pakatan Harapan telah menerima pandangan semua pihak yang tegas tentang perkara ini.


“Perlu ditekankan kepentingan rakyat adalah lebih penting daripada mana-mana individu. Oleh kerana mereka bukan ahli mana-mana parti komponen Pakatan Harapan, maka soal pencalonan mereka dalam PRN tidak berbangkit di dalam mesyuarat hari ini.


“Bagaimanapun, Majlis Presiden turut memutuskan bahawa Datuk Norhizam Hassan Baktee tidak akan dijadikan calon Pakatan Harapan dalam PRN Melaka,” kata kenyataan itu.


Kenyataan itu dikeluarkan bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Wilfred Madius Tangau.

bottom of page