PH tolak pembubaran DUN Melaka sebagai tidak berperlembagaanPH tolak pembubaran DUN Melaka sebagai tidak berperlembagaan
top of page
  • Writer's pictureMarryan Razan

PH tolak pembubaran DUN Melaka sebagai tidak berperlembagaan




12 Okt 2021

Oleh Marryan Razan


KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menolak pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sebagai tidak berperlembagaan.


Menurut kenyataan Majlis Presiden PH, ini kerana Melaka masih menghadapi wabak Covid-19 dan mempunyai gabungan parti yang mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka (Adun).


“Oleh itu Pakatan Harapan menolak penamaan Datuk Seri Utama Sulaiman Ali selaku Ketua Menteri 'caretaker' Melaka kerana beliau jelas hilang sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka sebelum DUN Melaka dibubarkan dan tidak lagi mampu mengetuai Kerajaan Negeri Melaka.


“Perbincangan sepatutnya diadakan terlebih dahulu di antara Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, blok majoriti yang diketuai Adly Zahari bersama blok Datuk Seri Idris Haron, dan blok minoriti yang diketuai Datuk Seri Sulaiman sebelum menamakan sesiapa untuk memegang jawatan tersebut.


“Malah seperti yang berlaku di Perak pada tahun 2009 mahupun Melaka itu sendiri pada 2020, seharusnya blok majoriti diberi peluang mengetuai pentadbiran negeri,” kata kenyataan itu, hari ini.


Pakatan Harapan mengulangi pendirian bahawa Pilihan Raya Negeri tidak patut diadakan pada waktu ini demi mengelak berlakunya gelombang ke-empat penularan wabak Covid-19.


“Darurat juga tidak sesuai memandangkan ia akan menimbulkan kegusaran di kalangan pelabur pada ketika usaha menghidupkan semula ekonomi negara sedang diperhebat.


“Oleh itu, perbincangan perlu diadakan agar semua pihak memastikan Perlembagaan Negeri Melaka ditegakkan dan dihormati dengan mewajibkan mana-mana kerajaan termasuk Kerajaan 'caretaker' diwakili oleh golongan majoriti Adun-Adun.


Kenyataan itu dikeluarkan oleh Presiden Keadilan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Hj Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Wilfred Madius Tangau.



bottom of page