Phoong komited bantu selesaikan masalah projek Star City
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Phoong komited bantu selesaikan masalah projek Star City


27 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang, Phoong Jin Zhe memberi jaminan beliau akan membantu mencari penyelesaian terbaik kepada masalah projek Star City yang telah lama terbengkalai.


Beliau berkata, beliau faham banyak komplikasi berkenaan projek tersebut yang berlarutan semenjak 18 tahun lepas, tetapi beliau akan menjadikan keutamaan beliau mengkaji projek ini dan seterusnya cuba membantu keperluan para pembeli Star City sedia ada.


“Saya akan cuba sedaya upaya membantu mencari penyelesaian terbaik untuk kedua belah pihak, para pembeli dan Perbadanan Pembangunan Bandar Sabah (SUDC) dalam isu ini,” katanya.


Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan itu berkata demikian ketika menghadiri dialog antara PEKESTAR dan Fusun International Holding LTD di sini pada Sabtu untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut.


Beliau juga mengingatkan bahawa beliau telah dipilih oleh rakyat dan menjadi tanggungjawabnya untuk menyelesaikan isu berbangkit di Kota Kinabalu.


Turut hadir pada sesi dialog tersebut adalah Presiden PEKESTAR, Stephen Wong, Pengurus Besar SUDC, Anthony Dumpangol, Timbalan Pengurus Besar, Datin Leena Bohuntang dan Chen Full Qing, Pengurus Projek Fusun International Holding.

bottom of page