Piala Malaysia: Sabah FC seri menentang PJ City

27 Sept 2021
PETALING JAYA: Sabah FC hanya mampu seri 1-1 dengan PJ City FC pada aksi Kumpulan D, Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.
Skuad Tembadau yang dikendalikan oleh Ketua jurulatih baharu, Datuk Ong Kim Swee terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata dengan pihak lawan apabila gagal mempertahankan kelebihan satu gol yang dijaringkan di babak pertama perlawanan.
Pada aksi tersebut, peluang terbaik PJ City FC hadir pada minit ke-14 selepas Khyril Muhymeen Zambri melakukan satu percubaan jarak jauh namun berjaya ditepis Robson Rendy Rining.
Bagaimanapun, Sabah FC mengejutkan tuan rumah apabila sepakan percuma Tae Su dari jarak 40 meter hinggap di palang sebelum menerjah gawang dan menewaskan Kalamullah Al-Hafiz pada minit ke-20.
Bersambung babak kedua, Robson Rendy terus beraksi cemerlang untuk mengekalkan kelebihan satu gol buat Sabah FC apabila menafikan percubaan leret Darren Lok pada minit ke-53. Kalamullah memastikan PJ City FC tidak ketinggalan jauh apabila menyelamatkan sepakan penalti Levy Madinda pada minit ke-65 disusuli tandukan Saddil Ramdani pada minit ke-73.
Gol penyamaan yang dicari tuan rumah akhirnya muncul pada minit ke-79 menerusi Darren sekali gus menjadikan kedudukan kembali seimbang buat kedua dua pasukan.
Tuan rumah mendapat peluang terbaik untuk meledak gol kemenangan pada minit akhir namun Robson Rendy berjaya menghalang percubaan Syahmi Zamri.
Comments