Piala Malaysia: Sabah tewas 0-1 kepada Melaka UnitedPiala Malaysia: Sabah tewas 0-1 kepada Melaka United
top of page
  • nabalunews

Piala Malaysia: Sabah tewas 0-1 kepada Melaka United


Foto: Facebook Sabah FC

15 Nov 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sabah FC tewas kepada Melaka United FC 0-1 dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Likas, semalam.


Meskipun bermain di laman sendiri, pemain The Rhinos gagal memanfaatkan kelebihan tersebut untuk memastikan kemenangan ke atas pasukan lawan.


Pada babak pertama perlawanan, Melaka United bermain dengan begitu agresif, melakukan serangan demi serangan ke atas Sabah.


Penyerang Melaka, Adriano hampir menjaringkan gol pada minit ke-28 selepas sepakan percuma dari luar kotak penalti tepat ke arah gawang Sabah namun berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Sabah, Rozaimi.


Benteng pertahanan Sabah kekal utuh menyaksikan kedudukan kekal seri tanpa jaringan sehingga tamat babak pertama.


Bersambung babak kedua, Sabah bermain dengan lebih baik dan melakukan lebih banyak serangan serta cubaan ke atas Melaka United, namun kesemuanya gagal menepati sasaran.


Pemain veteran Sabah, Alto Linus hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-47 tetapi sepakannya sedikit tersasar ke sebelah kanan tiang gol lawan.


Gawang Sabah akhirnya dibolosi pada minit ke-52 apabila rembatan Sony Norde berjaya menewaskan penjaga gol Sabah, untuk menjaringkan gol tunggal buat Melaka United.


Kedudukan 0-1 kekal sehingga wisel penamat.


Sabah yang dikendalikan oleh bekas jurulatih Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee masih mempunyai peluang untuk mengubah kedudukan tersebut dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Hang Jebat, Khamis ini.


Sabah perlu bangkit dan menang ke atas Melaka pada perlawanan suku akhir kedua sekiranya ingin melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia.






photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page